Nasyid Instrumental

30 Ogos 2018

Ceconteng Hati #1



Laksana watak Peterpan,pernah berharap tetap jadi kanak-kanak supaya punya imaginasi yang tak terbatas dan buat banyak hal yang menggembirakan. Tak perlu berat-berat fikir tentang perkara jauh dan tak terjangkau.

Tapi adakalanya, berharap juga alangkah baiknya kematangan hari ini ada pada diri 5 - 10 tahun yang lalu. Banyaknya perkara boleh selesai dengan tenang melalui kematangan fikiran. Atau mungkin keserabutan hari ini dengan kematangan fikiran 5 tahun mendatang.

Wish to stay young physically, but grow in maturity.

19 Ogos 2018

Selamat Berbahagia Puan Jamilah!


Aku masih ingat bicara kita tentang masa hadapan yang kita khawatirkan. 
Dan hari ini sebahagian kita telah melaluinya. 


Entah kenapa kerap aja terkenang-kenang. Lantas sengaja merakam memori lalu pada bait-bait tulisan di sini.

*Tulis sambil play instrumental lagu Sahabat Sejati (UNIC)*

Pernah kami sama-sama terlibat sebagai urusetia kursus kahwin sebagai memenuhi projek subjek keusahawanan.  Alang-alang itu kami terus saja jadi peserta kursus kahwin kerana kebetulan belum ada sijil kursus lagi. Konsep kursus kahwin, setiap selesai satu slot akan ada sesi zikir munajat dan muhasabah. Kali itu, sesi muhasabah adalah tentang keluarga. Ingatilah pengorbanan Ibu dan Ayah masing-masing.

Dan aku, pantang orang sebut-sebut bab ibu dan ayah, bertambah usia sebegini pun aku masih rasa sensitif saat bicara tentang ibu dan ayah. Hari itu, macam biasa, seperti program motivasi zaman UPSR dahulu kala, ya, kitalah yang beriya menangis. Perasaannya macam nak berlari pulang & peluk ibu ayah. Serasanya banyak lagi kebaktian sebagai seorang anak yang belum selesai.

Dalam hangat-hangat air mata. Aku baru teringat  Jamilah baru sahaja kehilangan ayahnya 2 bulan lepas. Aku toleh ke kanan. Aku perasan pandangan matanya tepat ke hadapan, pandangan tembus, tiada air mata. Aku tahu dia sedang menahan tangis dalam dada. Padahal dia lebih patut merasa sebak berbanding aku. Tanpa berkata apa-apa. Aku pegang tangan Jamilah,

‘Ayah Jamilah memang dah takda, family Jamilah jauh. Tapi Jamilah jangan lupa, orang family Jamilah kat sini’

Aku terus peluk Jamilah seeratnya. Pelukan itu seolah saling mengerti bahasa antara kami. Bukankah persahabatan itu juga sebuah ikatan hati?

**

Busana pink dengan batuan manik yang dijahitnya sendiri cantik terletak dikenakan di hari bahagianya.  Jamilah beberapa kali panggil aku agar bergerak ke sisinya, duduk sebelah bantal  yang dijadikan alas pengantin. Buat meneman debar di hati agaknya.  Padahal, andai saja Jamilah tahu, debar di hati aku pun boleh tahan rancaknya! Macam aku pula pengantinnya.

“Aku terima nikahnya  Jamilah binti Mohamed dengan mas kahwinnya…..”
“Sah”
“Sah”

Jamilah yang dari tadi memandang ke hadapan tenang. Dari semalam lagi tenang. Aku yang hairan, Jamilah bakal terima orang baru dalam hidup dia, yang dia sendiri tak begitu kenal siapa. Masakan boleh setenang itu pada sebuah penerimaan? Aku yang gusar terlebihnya.

“Syifa, bila masanya telah sampai. Kita yakin dan rasa tenang dengan orangnya. Kita serahkan pada Tuhan atas segalanya. Insyallah perasaannya tenang dan baik-baik saja”

Akad nikah selesai. Jamilah masih terpaku di situ. Pandangannya lolos ke hadapan. Buat suaminya barangkali.  Sebakku bertali arus.  Hampir 5 tahun bersahabat, aku menyaksikan segala perjalanan jauh dan menyakitkan Jamilah lalui untuk sampai pada detik ini. Jamilah berhak untuk merasa bahagia ujarku berkali-kali. Namun, kita lupa, kesakitan dan kekecewaan lalulah yang sebenarnya memaknakan erti kebahagiaan hari ini. 

Aku genggam erat tangannya, seakan menyedarkan dirinya bahawa akad yang sah telah terlafaz.

“Jamilah. Jamilah dah jadi isteri kepada seseorang.  Inikan waktunya yang Jamilah nantikan selama ini”
“Syifaaaaaaaa….”

Pelukannya erat sama seperti peristiwa hari kelmarin di kursus kahwin. Engkau tahu sahabat, perasaannya berat, seakan melepaskan sebuah persahabatan. Namun setelah yakin ada yang lebih baik menjagamu, meneman sedih dan gundah hatimu.  Insyallah, baik-baik aja semuanya.  Bukankah Allah telah menyusun takdir yang indah buatmu?

Selamat berbahagia Puan Jamilah!


Maksudnya :"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)" Az-Zukhruf :67

 Sudah menjadi adat berkawan, kadang-kadang hubungan kekal berpanjangan, tetapi ada yang berakhir dengan permusuhan. Islam mengajar kita supaya meletakkan taqwa sebagai asas persahabatan. Jika ini menjadi pegangan, insya-Allah, hubungan mereka akan terus berkekalan. Mereka tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat perlindungan Allah di hari akhirat kelak, dan Allah memberi jaminan mereka tidak merasai sebarang kebimbangan dan tidak akan berdukacita apabila tiba saat kembali menemui Tuhan.

Moga-moga persahabatan ini ke syurga :)

30 Julai 2018

Take A Walk


Bismillahirrahmanirrahim.

Ada ketika bila terasa berlelah-lelah terhadap suatu hal, perasaan untuk pergi jauh datang kembali. Penatlah hati.

"Syifa, ajarkan saya teknik bernafas dengan baik", Ujarnya tiba-tiba.

"Teori atau formula?", fikir bahawa itu gurauan dia semata.

"Bernafas dengan betul, agar hilang sesak di dalam dada".

"Take a walk. Put your brain aside. Jangan fikir apa-apa. Kalau tengah duduk, baring. Take a time for tafakkur. If you have been in Mecca, just imagine you are there right now..."

Dan, selalu, nasihat untuk orang lain itu sebenarnya lebih tertuju pada diri sendiri.

'Bukankah di sana tugas kita cuma beribadah kepada-Nya. Lalu, hal apa yang disesak-sesakkan cuma jambatan membawa kita pada Dia?'



Janda Baik, Sheikh Nuruddin's Talaqqi Class (June 2016)

18 April 2018

Rencam Politik

Bismillahirrahmaniirahim,

Tulis, mana tahu dengan cara ini rasa itu lebih aman.
Pernah aku teman seseorang ke majlis minum petang yang mengumpulkan kepelbagaian ahli politik, sekadar meneman. Sambil jurnal dan highlighter di tangan. Aku malas nak ambil bicara, maaf aku memang tak nak jadi part-of-them. Cuma, telinga masih peka isinya.

Ku soalkan pada dia,

"Kata bekerjasama, tetapi kenapa politik sampai jatuhkan sesama sendiri. Cukuplah tunjukkan apa yang ingin dibawa dan buktikan kebagusan kita dalam berkata-kata. Apa perlunya sampai buat jenaka memalukan individu? Tak adakah cara lagi polite?"

"Itulah politik. Kalau tak tahan, jangan masuk dalam politik"

Terdiam. Kalaulah tak nak terlibat dalam politik disebabkan ketidaksetujuan kita atas sesuatu perkara dan kebusukan politik itu sendiri. Jadi, siapa yang tinggal untuk menunjukkan politik yang benar?


***

Aku merasakan adalah satu perkara yang tidak wajar untuk memaksakan pendirian politik kita pada orang lain. Bukankah suruh jadi bangsa yang berfikir?

Lemas.

Kadang fikir, alangkah baiknya jika segala perkara yang dikusutkan dapat diselesaikan di meja tulis.Asingkan diri (acah-acah ahli intelektual) kritik masyarakat dan pemerintah, tak nak jadi sebahagian daripada masyarakat dan pemerintah yang dikritik. Sibukkan diri dengan hal-hal keilmuan dan buku-buku di perpustakaan.


Petikan dari buku Desperately Seeking For Paradise.

**

Ceconteng hati

Habis interview biasiswa, komen one of interviewer pada aku ;

"awak boleh join politik ni"

I was like =_=. Outspoken sangat kot. luls. Kalau politik atas nama kebenaran, dan tak menidakkan kebobrokan sekadar atas nama parti, good political, then okay. Tapi, agak-agak nak tunggu good political, sampai bila?

Wallahua'lam.

13 April 2018

My Lab Reflection : Agglomeration Rate

Bismillahirrahmanirrahim,



Usai diskusi dengan team penyelidikan, aku tulis nota untuk istilah yang aku tak pasti definisi dia. Lebih jujur, aku tak pernah dengar pun istilahnya sebelum ini. Agglomeration rate. Hinggakan aku soal pada Yana, bagaimana ejaannya. Terlalu asing istilah itu bagi aku.

“Cuba Syifa explain kat Yana pasal agglomeration ni. Kenapa beriya study berhari-hari pasal agglomeration”, soal Yana setelah dia lihat nota peta minda aku yang berhelai-helai berkenaan agglomeration sahaja.

“Entahlah, rasa looser gila. After 4 years degree Fizik pun, ini kali pertama Syifa dengar istilah Agglomeration rate”, ujar aku pendek.

Supervisor aku, Dr Amir hanya minta aku kaitkan hasil kajian aku dengan agglomeration rate atau bahasa mudahya bagaimana hasil aku ini dapat menghasilkan kadar penggumpalan yang rendah.  Boleh katakan cuma dalam 0.5% daripada kajian sebenar aku. Tidaklah terlalu penting untuk difahami secara details. Sekadar satu proses ringkas kimia, bukanlah major kajian untuk diluaskan kajiannya. 

Hasil pencarian aku di sesawang google, menemukan aku pada laman forum dan biografi seorang pakar dalam bidang Agglomeration. Rasa takjub. Kerana fikirkan rasa ilmu kecil yang tak ada apa-apa ini pun boleh sampai jadi satu bidang kepakaran.  Luasnya ilmu Allah untuk diperdalamkan. 

Kata seorang sahabat, “Syifa, tiada masalahnya pun jika kita tidak tahu semua perkara”.

Dan aku iyakan, benar kerana itulah beza sifat Yang Mencipta dan yang dicipta  

Luasnya ilmu Allah untuk dipelajari, bagaimana mungkin manusia merasa bongkak, seakan sudah tahu semua perkara?


11.47 am
12 April 2018
Kerusi atas Bridge intermediate Bangunan Sains Kimia & Bangunan Fizik Gunaan 


18 Mac 2018

Hijrah



Soalannya mengguris.
Cuma pilih untuk tenang amankan hati.
Jelaskan pendirianku pintanya.
Pengaruh kerabatmu menggusarkan kami.
Seakan baru hari ini dia menyedari.
Tekannya berulangkali, seisi memerhati.
Sahabat2ku memandang kelu tak mengerti.
Sudah teguh kakiku disini.
Apa perlu kukhabarkan lagi?
Kususun ayat agar diri terjaga hati dari rasa ingin menyakiti.
.
Berbeza pandangan dilihatnya prejudis seakan musuh sampai mati.
Suarakan pandangan dipandangnya sepi, tiada pengalaman bagaimana hendak memahami, apalagi meladeni.
Oleh itu, ajarkanlah kami.
Bukankah dengannya idea dan tenaga muda kami lebih bererti.
Tebak hati barangkali ini bukan medan kami.
Tua dengan ketuaannya, muda dengan kemudaannya. Sampai bila begini?

Politik berakhlak Islam menjulang Islam keatas, tapi sayangnya ianya politik kepartian.
Dasar politik bagus, tapi sayang tidak orangnya.
Tokoh bagus, namun tidak pula pada dasarnya.
.
Maaf, masih bertatih untuk memahami. Moga rajuk kecewa ini sementara. Masih memikirkan, kenapa rasa itu diambang-ambang begini. Apa hati tidak tahan diuji?Telah kuhijrahkan kaki ini, moga tidak hati ini. Ya Rabbi, Thabbit qalbi 'ala dini. Amankanlah hati.
#yakinlah
#jikaredhadiayangkaucari
#cecontenghati

20 Oktober 2017

Ibrah Pagi di Bukit Senaling


Bismillahirrahmanirrahim.

Butang 'Search' di sebelah kanan bawah dekstopnya ditekan.
Perlahan.

Yiruma - My Memory.

Mencari perasaan yang hilang dikambus kesibukan bekerja dengan mesin dan material. Mungkin.

***

Baiknya hari ini seperti selalu, dapat berjumpa sahabat, recharge iman.
Jauh lebih baik dari hari-hari yang dihabiskan dengan gadjet dan novel.
Waktu begini memang kuat benar ingatan pada bait-bait Saiyyid Badiuzzaman An-Nursi,

zaman ini adalah zaman menyelamatkan iman.

Selamatkan iman dengan hiking dan tenggelamkan diri dengan beauty of nature.  Cerita sepanjang hiking dari  sembang fasal perjuangan, baitul muslim, life planning, kewangan sehinggalah alam kerjaya. Terima kasih kerana mengembalikan rasa yang pernah hilang, rasa untuk berubah jadi lebih baik.

Bahagia ditemukan dengan sahabat-sahabat yang baik.


***

Luahkan pada teman, kekecewaan kerana entah buat kali ketiganya menolak tawaran untuk meneruskan pengajian master. Dan kali ini berbelah bagi dengan urusan interview biasiswa untuk certificate dalam bidang finance.

"Minggu hadapan saya ada second stage interview scholarship untuk certificate. Entahla, berbelah bagi, sebab akan lari dari bidang. Saya akan terjun pula ke bidang Finance. Memang dalam planning nak further in deep dalam fizik sebenarnya..."

"Awak kena ada big why kenapa awak buat sesuatu keputusan.."

"Sebab sekarang ini, apa yang saya fikirkan lepas habis degree, saya tak rasa dengan degree yang saya ada, membolehkan saya dapat apa yang saya harapkan. Tak capai expectation saya.."

"Awak kena belajar kawal expectation awak.."

"Bukankah untuk punya satu expectation itu satu perkara yang positif? Jadi dengan adanya expectation kita ada cita-cita berbanding perkara rutin yang kita jalani..."

"Saya tak cakap yang awak jangan letak sebarang expectation untuk diri awak. Saya just kata untuk awak belajar kawal expectation awak. Dan awak nak tahu satu perkara, ini abang saya share dengan saya yang menyebabkan saya fikir banyak kali untuk buat decision sambung master...

Cuba awak tanya diri awak,
dengan degree yang ada sekarang, sejauh mana sebenarnya yang awak telah menyumbang?

Lebih-lebih lagi dalam bidang awak?"

Senyap sunyi tanpa kata.

Muhasabah paling dalam.
At certain point, I just don't know what to expect in my life.

Wallahua'lam. Semoga penulisan bermanfaat.

Mencari kekuatan untuk membumikan sebuah muhasabah selain usaha menyambung tulisan cerpen-cerpen lalu, masihkah ada silent reader? Ok bye.

 
The hikers


Catatan Hari Lahir
Genap 24 tahun, tipulah tiada kerisauan.
Sedang usia terus meningkat.
Moga pencarian diri menemukan pada Cinta yang tak pernah mengecewakan.

Kuatkan hati,
Mana mungkin rasa sendiri, jika kau ada cinta-Nya di dalam hati.

2.18pm
21 Oktober 2017
Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM, Bangi



Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...