Nasyid Instrumental

18 Jun 2019

Travelog Perkampungan Kecil Orang Asli Kampung Selaor

Bismillahirrahmanirrahim,

Dalam sebuah pengembaraan masa, jurugambar merakam memori menerusi fotonya. Dan aku bukanlah dalam kategori jurugambar yang baik, masih amatur dan kebiasaannya gambar sekadar di notakan sekali dengan luahan tatkala sendiri.  Namun yang disematkan selalu bahawa insyallah aku pasti merakam sesuatu lebih baik melalui tulisan. Aku jadi teringat pada perkataan demi perkataan pada buku Pujangga Melayu ;

“ Katanya, seorang pengarang mempunyai peribadi yang saling bertentangan : dia ingin mendedahkan sesuatu, tetapi dia ingin merahsiakan dirinya, perasaannya, dan diri peribadinya yang paling tersembunyi”

Catatan pengembaraan ini asyik saja tertanguh-tangguh, walaupun memang sejak dari awal aku berjanji pada diri untuk menulisnya sebagai hadiah timbal balik setelah mengambus, mengubur serta menisankan (teruk sungguh bahasa kecewa haha) cita-cita untuk ke seminar fizik di USIM yang berlangsung pada tarikh yang sama. Sengaja aku tekadkan keputusan sebegitu. Biar buat kali ini, jiwa ini dididik pula berguru pada alam, pada manusia, pada pengalaman, pada semesta keseluruhannya. Ini catatan refleksi yang dikutip sepanjang perjalanan misi kesukarelawanan ke sebuah perkampungan kecil orang asli Kampung  Selaor di Banjaran Titiwangsa, Grik, Perak. Kami bertiga (aku, Kak Syumaila & Athirah) mewakili Unit Pendidikan & Kerjaya (UPK) Nisa’ Pusat sebagai unit pengisian program. Selain Nisa’, program ini dengan kerjasama Muslim Care, MAIP dan Kelab Vitara.



Banjaran Titiwangsa

Sebelum memulakan perjalanan, sambil mengemas pakaian ke dalam beg galas, aku sempat menyemak sebentar tentatif program – apalah agaknya bentuk pengisian yang seharusnya diisi untuk masyarakat penempatan orang asli. Menerusi sembang-sembang di aplikasi Whatsapp, sukarelawan berbincang mengaitkan bagaimana pendekatan Rasulullah pada zaman awal Islam – membina asas Aqidah kemudian barulah syariat dan lain-lainnya. Sempat tarik sebuah buku atas meja studi, buku yang menerangkan tentang asas Islam, “Islam : Faham Agama & Asas Akhlak” tulisan Syed Naquib Al-Attas yang menerangkan kefahaman asas sebagai seorang muslim. Walaupun sesudahnya aku merasa lucu dengan diri sendiri setelah bertemu mata kali pertama dengan masyarakat orang Asli Kampung Selaor.

“Apa yang aku fikirkan bawa buku ini? Nak bertalaqqi kitab dengan orang Asli?”
Keadaan di sana jauh sekali.

Jumaat (28 September 2018)

Memindahkan barang dari kereta ke Hilux

10.30 malam : Sementara menunggu Kak Syumaila di hadapan parkir rumahnya di Seksyen 3 bangi, aku sempat habiskan satu book-on-the-go : Seruan Kepada Jenis Yang Lembut. Itu pun kerana berkejar tarikh tutup pertandingan review buku (eh?). Kami memulakan pergerakan ke Gombak, sempat bertanya kepada Kak Syumailah,

“Kita cadangnya malam ini tidur di mana kak?”
“Kita tak berhenti untuk tidur, waktu tidur kita dalam perjalanan”

Aku pasti perjalanan ini benar-benar bakal mengajar sesuatu. Lagipula, macam tak biasa tamrin tak tidur kan. Haha. 

Sabtu (29 September 2018)

12.15 pagi :  Kami bertiga tiba di Gombak dan memarkir kenderaan sementara di sini. Kami memindahkan barangan (hampers, saguhati dan segala keperluan) ke atas bahagian belakang Hilux. Kami meneruskan perjalanan bersama dengan Hidayah & Solehah. Berlima. Tak lama, setengah jam setelahnya, kami berhenti di stesen minyak sementara menunggu 2 buah kenderaan lagi dari team Nisa’ tiba.
1.00 pagi  : Memulakan perjalanan konvoi ke Hentian Tapah.
3.15 pagi  : Selamat tiba di Hentian Tapah. Hidayah aka co-pilot yang bertugas meneman pemanduan (pilot Solehah) tanyaku berulangkali,

“Nak makan tak Syifa’? Pergilah makan sekali dengan diorang”.  

Walaupun aku menolak, Hidayah masih saja memujuk. Oleh kerana ditanya berulangkali, maka aku tak bermaksud mengecewakan, aku turut ikut serta keluar menikmati angin sejuk pagi berteman secangkir teh tarik panas. Nikmat juga. Padahal, andai saja dia tahu aku sejak jam 1 pagi tadi bergelut untuk tidur dan aku langsung tak tidur.  Segala butir-butir bicara dan nasyid ‘Ainul Mardhiah’ yang dinyanyikan aku dengar semuanya. Aku berharap-harap dapat tidur barang sejenak ketika di Hentian Tapah sementara yang lain ke tandas dan minum. Aneh-aneh saja diri ini, waktu begini susah benar untuk melelapkan mata. Walhal, petang jumaat semalam sewaktu kelas Research Method selama 4 jam, tak disuruh-suruh, belum malam, elok saja kalah dalam tempur medan ilmu. Asyik tersengguk-sengguk walaupun setelah habis kunyah mentos dua ruas.

“Ni consider makan apa ni jam 3 pagi? Sahur ka?”, tanyaku melihat Kak Syumaila berselera makan pada pagi gelap begini.

“Apa-apalah. Lapar”

Kak Syumailah J

6.00 pagi :
Tiba di Masjid Jame, Grik. Mandi, bersiap-siap dan solat subuh di sini. Sempat juga berlunjur kaki di sini (ayat santun, nak kata sempat jugalah layan hajat mata untuk tidur). Bersarapan roti canai di warung berdekatan dengan masjid dan bertemu team yang lain selain daripada Nisa’ di sini.
Sahabat solehah saya merangkap kuliahmate, classmate dan musafir mate - Athirah Ibrahim
(Kita ambil gambar masjid, ada pula yang berposing sakan hehe)

9.00 pagi  : Kami semua berkumpul untuk mendengar sesi taklimat dan ucapan daripada di perkarangan Kompleks Mahkamah & Pentadbiran Agama Islam Gerik. Kami dimaklukan bahawa Program Misi Kesukarelawan ke Kampung Selaor adalah dengan kerjasama Muslim Care, MAIP, Kelab Vitara dan Nisa’. Sesi taklimat berakhir dengan fotografi dan  kemudian kami menyusun atur penumpang memenuhi kenderaan lasak tersedia – Vitara, Hlux, Ford Renger. Kesemuanya ada 7 biji.

 

Taklimat

9.30 pagi : Memulakan perjalanan melalui Banjaran Titiwangsa melewati Royal Belum, Hutan Simpan (Rainforest) dan yang selebihnya aku rasanya banyak menonton di balik kaca pemisah kenderaan dan pemandangan alam di luar tanpa bertanya pada empunya vitara yang kami tumpangi – Pakcik Zahari. Menghayati pesona Banjaran Titiwangsa disulam zikir pada Tuhan. Tak lupa, pesan diri tentang pentingnya menghargai sebuah perjalanan, supaya diri tidak terlalu objektif pada tujuan dan titik akhir tetapi malangnya meninggalkan hikmah-hikmah @ ibrah yang bertaburan yang sepatutnya dikutip di tepian pengembaraan. Ah, kau harus baca sendiri buku The Alchemist (Paulo Coelho). 

Walaupun sekali sekala adalah juga melayan perasaan.  Boleh kata  ‘escapism’ untuk tidak mengambil tahu kusut isu negara, mungkin? PRK Port Dikson minggu hadapan.



11.40 pagi : Pengembaraan berbatuan bermula menerusi tanah merah. Menikmati perjalanan mendaki dengan enjin berderu-deru, tayar vitara melintasi denai papan yang merentangi sungai, setiap hentakan ditambah melodi instrumental – Ed Sheeran di gegendang telinga. Bukankah segala bentuk kesempurnaan alam yang dinikmati hari ini datang dariNya jua?
Pakcik Zahari, dalam bual-bualnya ketika pemanduan –

“Masuk hutan, kena ikut undang-undang Hutan. Kita tak boleh kawal stereng. Kita kena ikut jalan dan tayar. Ikut lurah yang orang lain dah duk jalan sebelum ini. Kita kena ikut dialah. Kita kena ikut lurah tayar. Kita lawan, sat lagi bahaya”,

sambil berusaha seboleh mungkin mengawal stereng melalui jalan bukit yang bertanah merah. Ada kala jalan kekanan, tetapi pusingan stereng arah berlawanan. Itu ilmu baru bagi kami – dalam Vitara bersama lagi 2 orang sahabatku ( Aimi dan Soleha).

Perjalanan masuk ke kawasan Kampung Selaor hampir 1 jam. Mujur tidak hujan, jika tidak tanah menjadi lembab dan bertambah susah mengawal pemanduan. Katanya, barangkali perjalanan yang 1 jam itu boleh jadi sampai 4 – 5 jam.




Vitara kami yang dipandu oleh Pakcik Zahari (bersama Soleha dan Aimi)

1.00 tengahari  :  Alhamdulillah. Kami selamat tiba di perkampungan orang asli Kampung Selaor setelah rundingan wakil kami dengan Tok Batin. Bertamu di tempat orang, kita hormati adat dan orang pentingnya – jika di sini Tok Batin, Ketua Sidang (begitulah).

Kami beramah mesra dengan orang asli. Nak berbual panjang itu tidaklah, kami masih kekok dengan persekitaran di sini, mereka pula kelihatan was-was dengan maksud kehadiran kami. Kak Long dan Kak Farhana saja kelihatan ramah, mungkin kerana mereka sudah beberapa kali turun ke Kampung Seloar.

Baru sampai

Sebahagian kami memunggah barang ke dalam dewan yang ada di situ – itulah satu-satunya bangunan berdinding batu dengan lantai simen. Rumah-rumah di sini kebanyakannya berlantai papan dan beratap rumbia (ada juga yang beratap zink). Bertambah kekok adalah anjing-anjing di sini yang dijadikan binatang peliharaan dan sentiasa berlegar di mana-mana. Nak melangkah jauh ke dalam perkampungan pun aku berkira-kira bimbang dikejar.  Satu rumah memelihara dalam 2-3 ekor anjing. Kami menghulur keropok pada orang asli rumah ke rumah– pada hematku sebagai memancing hati mereka untuk bersama kami untuk beraktiviti sebentar lagi.   Aku sampai pada perkarangan satu rumah ketika hendak menghulur keropok, aku lihat beberapa orang asli lelaki  sedang membakar hujung kayu seakan lidi. Tebakku, sate barangkali.  Sekadar berbasa-basi,

“Wah sudah mula memasak, memasak apa?”

Kemudian aku dengar mereka seakan berceloteh bahasa mereka sesama sendiri yang aku kurang mengerti, mujur Ustaz Azizan & Ustaz Shafiq ada disitu sebagai penterjemah. Kata orang asli, “apa pula memasak, ini sumpitlah. Itu pun tak tahu”. Haha.  Naif sungguh.  

Kelihatan juga beberapa perempuan kecil – usia dalam 8 ke 9 tahun sedang membasuh perkakas rumah di tali air di tengah-tengah kampung. Aku sempat beramah mesra bertanya nama masing-masing.  Sungguhpun mereka berbahasa Bajai, mereka boleh faham bahasa melayu pertuturan biasa.  Alhamdulillah terlerai kerisauan kami tentang bahasa komunikasi yang bakal digunakan ketika aktiviti nanti .

Hujan mula renyai-renyai. Kami berkejar ke dewan penginapan merangkap tempat memasak.
Team memasak mula menyusun perkakas dan membuat persediaan untuk memasak sebagi menu makan tengahari seisi kampung walaupun anggaran team memasak kami selesai dalam jam 3 petang. Oleh kerana telah dibahagi-bahagikan peranan masing-masing, kami yang diamanahkan sebagai unit aktiviti bersiap sedia untuk solat terlebih dahulu (Jama’ Taqdim). Bergilir-gilir.  Bilik air yang ada perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan limitasi bekalan air bersih, begitu menduga pada awalnya. Mereka yang selebihnya bertungkus-lumus dalam menyiapkan makan tengahari pula.

Pengagihan makan tengahari 



Sukaneka dan senaman



Aktivit pertama kami setelah makan tengahari. Ada anak kecil orang asli yang berselendang, cuba iru macam kami. Comel. 
                                                                                                              

Taklimat penjagaan gigi
Taklimat penjagaan gigi oleh pelajar perubatan dari UITM (Puncak Alam jika tak silap) di sungai untuk kanak-kanak. Sementara waktu ini aktiviti menyumpit untuk lelaki dewasa bersama orang asli.
Pada sebelah malamnya,kami ada tayangan movie (movie kartun tak salah). Aku pun boleh terlelap sewaktu menonton.  Penat kot.  Pagi handle modul, malam sebelumnya tidur dalam vitara.

30 September 2018 (Ahad)          

Kak Syahira
Aktiviti pagi ahad agak santai, pagi kami diawali dengan subuh berjemaah dan tazkirah oleh Ustaz Rashdan berkenaan peranan seorang manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Telefon ku hilang pada ketika ini untuk mencatat penuh pengisian. Nak mencari keadaan agak gelap.
Bahasa Jahai yang sempat dipelajari oleh Kak Shahira Sya’rani sewaktu sembang bersama dengan isteri Tok Batin. Baguih naaa. (aku tolong snap saja).

Bahasa Jahai

Namanya Buah Ranjing. Rupa seperti buah rambai, rasa manis-manis seperti manggis.

 
Free market

Penyerahan sumbangan kepada orang Asli oleh wakil NISA' (Pengarah Program)

Menjamu Orang Asli Kampung Selaor makan tengahari sebelum bergerak pulang

3.00 petang
Selamat tiba di tempat pertemuan awal semalam di Majlis Agama Islam Grik, Perak.  Oleh kerana, Hilux kami mengalami sedikit masalah (tidak pasti apa masalahnya), aku sempat membersih diri dan bertukar pakaian untuk solat sementara menanti Hilux siap dibaiki. Siap solat jama’ taqdim Zohor dan Asar.

4.00 petang
Kami menikmati makan tengahari di kedai makan berdekatan kawasan masjid bersama semua sukarelawan. Rupanya mereka lebih awal berada di situ. Sepanjang perjalanan pulang banyak juga perkara yang menjadi perbincangan kami, seharusnya begitu, seharusnya begini. Bagaimana program ini boleh jadi lebih baik lagi daripada ini. Kritik diri. Dan persoalan kami yang paling mendasar  ;

‘Dakwah seperti apa yang kita telah bawa pada orang Asli itu sebenarnya?’
‘Sungguhpun tidak ada dalam tentatif untuk berceramah secara terus kepada orang Asli, mengapalah ketika sesi aktiviti kita tak selitkan zikir atau nasyid?  Sebaliknya, apa yang diisi adalah lagu kebiasaan yang didengar orang asli. Bukankah dengannya kita boleh menyelit bawa pendekatan hiburan dalam Islam. Bukan sekadar bersuka-ria semata?’

Kemudian sahabat kami, Athirah menambah.

“Kita tak boleh jadikan program seperti ini sekadar  touch-N-go, kerja dakwah kita pada mereka belum selesai, mereka belum melihat Islam yang sebenar-benarnya daripada kita setakat satu capaian program saja. Dan kemudian kita tinggalkan mereka untuk cari pula mad’u lain pula. Perlu ada penerusan untuk turun lagi di sini untuk bina hubungan dengan mereka. Bukan mudah untuk turun mengenal mereka, kita telah bina batu asasnya, kita perlu usahakan untuk datang kembali…”

Namun, bilakah lagi agaknya kita akan kembali ke sana lagi?

Dalam berbanyak-banyak pengalaman di usia mudaku, 25 tahun ketika mengikuti kembara ini ( 29 & 30 September 2018, aku baru berkesempatan habiskan penulisan), aku kira pengalaman ini adalah yang paling berharga. Belajar dari kehidupan, yang selama ini diriku terlalu tenang dengan hidup nafsi-nafsi dan mengejar kemajuan diri. Sedangkan keadaan mereka jauh dari kemajuan. Cahaya elektrik dan SOLAR mungkin dibekalkan oleh JAKOA, namun aku kira yang paling berharga cahaya Iman dan Islam.
SOLAR yang dibekalkan oleh JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli). Selaku orang yang dalam penyelidikan berkaitan energy storage, benda alah ini sejujurnya membuatkanku sedikit teruja.


Semoga bertemu lagi.
p/s – banyak lagi yang seharusnya ditulis. Ini pun aku tulis runcit-runcit. Ada yang sudah samar dalam ingatan dan memori. Namun,aku kira jika menunggu catatan ini benar-benar sempurna, rasanya sampai ke sudah tidak publish catatan ini.


Semoga bermanfaat perkongsian.

25 April 2019

Kembara hati ke Rinjani, mencari motivasi yang pergi

Aku meneliti post dan gambar kawan-kawan USIM menawan Gunung Rinjanji, Lombok. Semangat mengembara dan memulakan pendakian itu terus meresap dalam diri, nak juga pergi ke mana-mana, tempat yang lebih jauh dan tinggi mungkin. Bawa hati dan fikiran ini mengembara, biar tahu, ada dunia yang lebih luas dan indah dari dunia seputar yang dilalui hari-hari.

Tak mampu merasai pengalaman mengembara sendiri, jadi aku mengembara melalui catatan kisah pengembaraan orang lain. Sebuah travelog, "Rindu Eropah Tawan Damascus", tulisan Munir Ramli. Route dari Malaysia-Thailad-Singapura-Karachi- India-Syria-Turki-Syria-Mekah-Madinah-Mekah. Fuh, jauh juga kan aku berjalan. Tulisannya tak mengecewakan sebab aku berhasil masuk dalam catatatan pengembaraannya. Penceritaan yang diskriptif pada tempat, peribadi orang ditemui sepanjang perjalanan dan budaya negara.

Dari situ aku belajar, betapa perlunya kita meletakkan sudut pandang seorang pengembara dalam hari-hari yang kita lalui. Bahawa hidup kita juga sebuah pengembaraan pengabdian kepada Tuhan, dari lahir menuju mati. Tidak statik pada satu-satu tempat dan keadaan, kita sentiasa bergerak. Semua yang kita lalui adalah guru yang mengajar kita. Kita belajar melapangkan dada pada kemungkinan, cabaran dan pengalaman hidup yang baru. Semua orang yang kita temui (baik atau tidak) sifirnya datang dan pergi. Sama ada menjadi inspirasi buat kita atau sebaliknya. Tiada yang kekal. Semua tempat yang kita lalui sekadar tempat singgah bukan tempat menetap. Walau seindah dan seselesa manapun tempat singgah. Memang itu pun kan hakikat dunia? Persinggahan menuju negeri akhirat. Dah kalau dunia ini sekadar tempat singgah, buat apalah duk fikir berat-berat semua dan seisinya sampai sakit kepala. Overcome the problem, not overthink.

Perihal mengembara, aku juga selalu merasakan hal yang sama, bahawa jalan hidupku benar-benar sebatas yang aku jalani jika aku tak pergi kearah takdir yang aku inginkan. Namun, perkara yang lebih utama buat aku (ketika ini), selain membawa kaki ini mengembara adalah membawa hati dan fikiran mengembara. Buat apa kaki jauh berjalan, tapi hati dan fikiran masih tersangkut pada hal-hal lama dan negatif. Insyallah esok lebih baik. Kenapa tunggu esok Syifa', kalau boleh saat seterusnya?

"Kejarlah cita-citamu, dan jika keinginanmu kuat, seisi dunia akan membantumu"(Paulo Coelho).

****

"Mengapa kita harus mendengarkan suara hati kita?"
"Sebab, di mana hatimu berada, di situlah hartamu berada."

Kita cari motivasi di mana-mana, pada siapa-siapa, padahal semuanya dalam diri kita, pada sejauh mana perhubungan kita dengan Tuhan. Bagi semangat kat diri sendiri, siapa lagi nak bagi motivasi kat diri kita kalau bukan diri kita sendiri. Sekadar satu catatan refleksi. Rasanya lebih baik menulis sesuatu sementara tengah bersemangat, sebab ada hari tertentu yang suram dan malas. Nak angkat selimut di waktu pagi pun terasa berat. *sigh* (Itupun kalau jenis tidur berselimut)

Sekian. Yang Broga berkali-kali. Yang penting mendaki. (Walau kita tahu hakikat hidup bahawa tak semestinya sentiasa mendaki).


21 April 2019

Bahagiamu di Sini

Bismillahirrahmanirrahim



Anakku,
Bahagiamu letaknya di sini
Di hatimu sendiri
Bukan pada indah permandangan ditatap mata
Bukan pada senandung merdu di dengar telinga
Bukan pada kelembutan yang dapat kau rasa
Ia tak bisa dideteksi pancaindera

Sebaliknya anakku,
Kala hatimu bahagia
Gurun pasir tak ubah taman berbunga
Cacian dan makian serasa senandung belaka
Semua yang kau sentuh terasa bak sutera
Bahagiamu dekat saja, nak
Di hatimu sendiri
Tak perlu kau cari ia jauh-jauh disana

Quoted this poem from books ; Bidadari Bumi ( Written by Ustazah Halimah Alaydrus)

On the way back home from a liqa' in Terengganu. Moga ketemu, tak disini, di memori mendatang. Moga2 Insyallah. Allah Al-Wajid, Yang Maha Menemukan. Temukanlah lagi kami dalam hal-hal kebaikan.  

08 April 2019

Musafir Mengubat Hati

Bismillahirrahmanirrahim,

Tasik Danau Maninjau, Bukit Tinggi

Beberapa hari lalu, pulang dari permusafiran dari tempat yang damai - dengan biru Danau Maninjau, hijau Gunung Merapi dan Gunung Singgalang, berhenti dari satu masjid ke masjid lainnya. Ambil ibrah di setiap muzium dan tempat tinggalan sejarah. Tambah, menikmati teh panas di perbukitan. Pernah saya katakan pada seorang teman, kadang antara kesibukan harian saya, saya cuma inginkan secawan teh panas dihirup dengan penuh nikmat dan terasa hilanglah sebentar apa yang sedang sarat di fikiran. 

Dan yang mahal tentulah kerana harga sebuah perjalanan. Di tambah, berangkatnya kami di subuh hari pada tarikh Isra' & Mikraj. Pada tahun kesedihan tatkala Rasulullah kehilangan isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan Pakciknya, Abu Talib yang kemudiannya Allah menghadiahkan Baginda sebuah perjalanan menguatkan hati. Itulah dia musafir. Dan musafir kali ini sangat tepat waktunya sesuai pada kekuatan emosi saya yang amat berharap pada satu terapi menghilangkan kesedihan. Ah dunia. 

Kadang yang saya harapkan dalam hidup cuma tinggal di kampung, di pesantren, belajar agama dan Al-Quran bersama anak-anak di sana. Bertemu dengan insan-insan sederhana namun penuh adab dan hikmah. Tiada internet dan gadget. Cuma menikmati setiap hari yang saya lalui dengan jiwa lapang dan fikiran yang hanya memikirkan hal-hal akhirat sahaja. Tiada apa yang dikejarkan. Jurnal atau publikasi. 

Kata ayah apabila saya pernah utarakan niat saya untuk duduk di pondok belajar agama pula setelah habis sarjana muda, 

"Bukan Kak Ngah saja yang ingin ke syurga...", lembut saja nada Ayah. 

Namun, itu cukup buat saya mengerti. Itulah juga harapan bagi setiap manusia yang dianugerahkan Allah dengan Iman dan Islam. Rasa ingin duduk saja lama-lama berteleku di tempat yang kita rasa selamat dari diuji iman dengan perkara-perkara duniawi. Walhal, kita tahu, hakikat dunia ini tempat kita diuji, supaya dengannya kita mengetahui siapa di antara kita yang lebih baik amalnya.

“(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya” (Al-Mulk :2)

Kampung Desa Terindah, Bukit Tinggi

Cukup sekadar ini. Insyallah, tulisan panjang bakal menyusul.

Off to zohor. Sambung buat kerja-kerja lab.
Hati saya masih di sana.

26 Mac 2019

Catatan Senja Tiga Warna

Related image
"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu". (Addhuha : 3)

Setelah 'Asar, balik lab, fikiran tak tenang. Duduk lama-lama di Masjid UKM. Iktikaf lama sikit. Tak tahu nak mula dari mana. Bacaan yang biasa atau surah pilihan. Teringat kebiasaan sewaktu menunaikan umrah beberapa tahun lalu, Surah Arrahman benar-benar mengembalikan memori solat jemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Baca sebanyak mungkin. Habis satu round, ulang lagi second round dan round seterusnya, hinggalah berhenti pada satu ayat. Lepaskan segala rasa yang tak sepatutnya kita punya. Ini dunia. Apalah nak disemak-semakkan dalam kepala. Perasaan itu bukan untuk dikalahkan, uruskanlah perasaan itu dengan iman. Satu ayat itu, jenguk pula tafsirnya, Surah Arrahman ayat 29.

"Apa yang dilangit dan dibumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu dia dalam kesibukan (Allah sentiasa menciptakan, menghidupkan, mematikan, memelihara, memberi rezeki dan lain-lain)"

Teringat pada maksud doa iktiraf (pengakuanku), "Wahai Tuhan, jika Engkau tidak memakbulkan doaku, maka pada siapalah lagi aku ingin berharap untuk memakbulkan doaku". Saat kita merasakan bahawa Allah meninggalkan kita & doa kita, tidak memandang doa kita lantaran dosa-dosa kita, ayat ini memujuk rasa. Sesungguhnya Allah itu sentiasa sibuk pada segala permintaan hambaNya di langit dan dibumi.

Tenang-tenanglah duhai hati, bukankah bahagia akhirat yang kita cari? Selayaknya hamba, teruslah meminta-meminta padaNya.

***
Sepertimana pujukan Allah pada Rasulullah apabila Baginda 6 bulan terhenti tidak menerima wahyu, hingga golongan musyrik berkata 'Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan benci kepadanya!'

"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu". (Addhuha : 3)

Begitulah caranya Allah menjawab persoalanmu. Allah tak pernah salah dalam menyusun atur takdir hamba-Nya. Teruslah berbaik sangka dengan luasnya sifat Arrahman Allah itu.

09 Mac 2019

Rindu Pada-Mu

'Maha Suci yang menghilangkan segala kedukaan, Maha Suci yang menghapuskan segala kesedihan. Maha suci yang melenyapkan segala hutang. Wahai yang menghilangkan! Hilangkanlah! Hilangkanlah daripada kami segala kesedihan dan kesusahan dalam seberapa segera' - doa di penghujung surah Yasin

Kita mengharap pagi ini seperti pagi-pagi hari kelmarin yang akan berlalu tenang. Namun, mendung semalam terasa menekan-nekan di jiwa.

"Kenapa ya ada rasa macam ini? Macam sedih", soalnya bercampur luahan rasa.

"Awak semalam pulang jam berapa?"

"Balik lewat. Setelah teman adik mendaftar sekolah. Terus ke meeting. Sampai sini semula jam 12.00 malam"

"Awak penat mungkin".

Nasyid Rindu PadaMu diulang main, melatari perbualan kami, sementara menyeterika  pakaian untuk ke tempat kerja.

"Lama tak dengar lagu nasyid daripada Yassin. Best juga"

"Kegemaran. Kerap juga pasang. Suka kerana liriknya"

"Ya..."

"Liriknya sangat mendalam. Perihal keTuhanan. Ada satu bahagian lirik tu, dalam  pengaduan kita pada Tuhan, yang kita tak tahu bagaimana hendak gambarkan. Kita tanyakan pada Allah. 'Apakah aku diterima, atau Kau akan membiarkan saja, kerana ku berdosa. Jangan biarkan ku terhina'. Entahlah. Kita rasa macam kita buat amal banyak. Tapi kita tak pasti Allah terima ke tak. Atau Allah biar saja kita ini"

Tangisan dia tiba-tiba makin kedengaran. Kali ini dengan sedu-sedan. Sepi seketika. Tak tahu apa yang lebih patut dituturkan untuk memujuk rasa sedih seorang sahabat.

"Saya takut awak....", dia menangis lagi.

"Saya takut Allah tak bagi hidayah pada saya lagi...."

Muhasabah buat diri, yang entah bila kali terakhir merasa mendung hati dan teresak-esak sebegitu sepertinya kerana risaukan rahmat Tuhan tidak berkunjung pada diri. Yang selama ini keterlaluan meletakkan perasaan sedih pada hal yang tidak sepatutnya. Yang setiap kali merasa berat melakukan amal, tak pernah merasa risau bahawa Allah menarik hidayahNya dari diri. Al-Fatihah buat hati yang lalai dengan dunia.

Punya sahabat yang baik itu juga rezeki.

**

"Tak boleh solat. Tapi tidak bermakna tidak boleh berdoa, bukan?" - Ayah

'Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingatiMu
Rindu padaMu
Sentiasa mendambakan kasih dan sayangmu

Semalam aku bermimpi
Di dalam hujan ku berlari
Berlari mencari memanggil-manggil namaMu
Nama-Mu yang sempurna'

08 Mac 2019

Warkah buat Anakku, Nusaibah #1

"Pada abad ini, kurniaan yang paling besar adalah menyelamatkan iman"


Assalamualaikum Anakku Nusaibah,

Entah apa yang menggerakkan Ummi untuk mula menulis. Perasaannya sangat aneh, Ummi belum pasti tentang jodoh - dengan siapa atau rezeki pernikahan Ummi seperti apa yang Allah aturkan untuk Ummi. Lagi pula, tentang kewujudan kamu. Namun, keyakinan Ummi pada Allah, sangka baik Ummi pada apa yang terbaik yang Allah tetapkan untuk Ummi adalah segalanya.

Sekarang Ummi masih di lab, mencari kekuatan untuk sambung pembetulan jurnal Ummi. Ummi memilih untuk menulis, yang moga-moga suatu hari penulisan ini bermanfaat buat kamu.

Anakku, Nusaibah. Usia Ummi tidaklah terlalu dinihari, 26 tahun pada tahun ini. Akan tetapi kerisauan Ummi dan keluarga Ummi akan jodoh Ummi sedikit sebanyak memberi kesan pada Ummi. Ummi kadang-kalanya hanyut dalam perasaan berharap. Terbuai oleh perasaan yang Ummi sendiri tidak mengerti. Sedangkan Ummi tahu, selayaknya yang Ummi harapkan adalah pada Allah.

Ummi lagi sedang menanti waktunya untuk berbuka puasa. Itulah ibaratnya, perasaan yang mencengkam Ummi adalah sebuah ketakutan dengan hawa nafsu Ummi sendiri. Dengan kemudaan Ummi. Yang Ummi harapkan sentiasa, Allah pelihara Ummi sehingga tiba hari pernikahan. Juga kerisauan Ummi juga terhadap kamu anakku, generasi kamu. Generasi Ummi sahaja ujian imannya sudah sebegini dahsyat, yang Ummi sendiri khawatirkan akan iman ummi, entah bagaimana pula iman kamu anakku? Pohonlah pada Tuhan, Allah Al-Hafiz akan penjagaan dirimu dengan perasaan malu dan maruah dirimu. Peliharalah apa yang dalam fikiranmu, kawallah dengan menyeimbangkan fikirmu dengan zikirmu. Moga Allah pelihara kamu, Nusaibah. Ummi sayangkan kamu. Allah sudah pastinya sayangkan kamu, lalu apa perlunya kamu melakukan sesuatu hingga melemparkan dirimu pada kemurkaan Allah. Kawallah nafsumu, anakku.



"Pada abad ini, kurniaan yang paling besar adalah menyelamatkan iman"

Jagalah iman yang ada dalam dirimu anakku, Nusaibah. 
Kerna sekali kau rosakkannya, kau pasti merindui kemanisan dan kejernihan imanmu yang dahulu. 

Akhirul kalam, kesendirian ini benar-benar mengajar dan mendidik Ummi, yang hidup ini tak selalunya berteman. Ummi belajar mengenal peribadi Ummi di saat kesendirian. Apa sebenarnya akhlak Ummi dilihat baik kerana taqwa kepada Allah atau sekadar pertunjukan pada manusia lainnya?

Ummu Nusaibah
7.14pm
28/2/2019

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...