Nasyid Instrumental

18 Jun 2019

Travelog Perkampungan Kecil Orang Asli Kampung Selaor

Bismillahirrahmanirrahim,

Dalam sebuah pengembaraan masa, jurugambar merakam memori menerusi fotonya. Dan aku bukanlah dalam kategori jurugambar yang baik, masih amatur dan kebiasaannya gambar sekadar di notakan sekali dengan luahan tatkala sendiri.  Namun yang disematkan selalu bahawa insyallah aku pasti merakam sesuatu lebih baik melalui tulisan. Aku jadi teringat pada perkataan demi perkataan pada buku Pujangga Melayu ;

“ Katanya, seorang pengarang mempunyai peribadi yang saling bertentangan : dia ingin mendedahkan sesuatu, tetapi dia ingin merahsiakan dirinya, perasaannya, dan diri peribadinya yang paling tersembunyi”

Catatan pengembaraan ini asyik saja tertanguh-tangguh, walaupun memang sejak dari awal aku berjanji pada diri untuk menulisnya sebagai hadiah timbal balik setelah mengambus, mengubur serta menisankan (teruk sungguh bahasa kecewa haha) cita-cita untuk ke seminar fizik di USIM yang berlangsung pada tarikh yang sama. Sengaja aku tekadkan keputusan sebegitu. Biar buat kali ini, jiwa ini dididik pula berguru pada alam, pada manusia, pada pengalaman, pada semesta keseluruhannya. Ini catatan refleksi yang dikutip sepanjang perjalanan misi kesukarelawanan ke sebuah perkampungan kecil orang asli Kampung  Selaor di Banjaran Titiwangsa, Grik, Perak. Kami bertiga (aku, Kak Syumaila & Athirah) mewakili Unit Pendidikan & Kerjaya (UPK) Nisa’ Pusat sebagai unit pengisian program. Selain Nisa’, program ini dengan kerjasama Muslim Care, MAIP dan Kelab Vitara.



Banjaran Titiwangsa

Sebelum memulakan perjalanan, sambil mengemas pakaian ke dalam beg galas, aku sempat menyemak sebentar tentatif program – apalah agaknya bentuk pengisian yang seharusnya diisi untuk masyarakat penempatan orang asli. Menerusi sembang-sembang di aplikasi Whatsapp, sukarelawan berbincang mengaitkan bagaimana pendekatan Rasulullah pada zaman awal Islam – membina asas Aqidah kemudian barulah syariat dan lain-lainnya. Sempat tarik sebuah buku atas meja studi, buku yang menerangkan tentang asas Islam, “Islam : Faham Agama & Asas Akhlak” tulisan Syed Naquib Al-Attas yang menerangkan kefahaman asas sebagai seorang muslim. Walaupun sesudahnya aku merasa lucu dengan diri sendiri setelah bertemu mata kali pertama dengan masyarakat orang Asli Kampung Selaor.

“Apa yang aku fikirkan bawa buku ini? Nak bertalaqqi kitab dengan orang Asli?”
Keadaan di sana jauh sekali.

Jumaat (28 September 2018)

Memindahkan barang dari kereta ke Hilux

10.30 malam : Sementara menunggu Kak Syumaila di hadapan parkir rumahnya di Seksyen 3 bangi, aku sempat habiskan satu book-on-the-go : Seruan Kepada Jenis Yang Lembut. Itu pun kerana berkejar tarikh tutup pertandingan review buku (eh?). Kami memulakan pergerakan ke Gombak, sempat bertanya kepada Kak Syumailah,

“Kita cadangnya malam ini tidur di mana kak?”
“Kita tak berhenti untuk tidur, waktu tidur kita dalam perjalanan”

Aku pasti perjalanan ini benar-benar bakal mengajar sesuatu. Lagipula, macam tak biasa tamrin tak tidur kan. Haha. 

Sabtu (29 September 2018)

12.15 pagi :  Kami bertiga tiba di Gombak dan memarkir kenderaan sementara di sini. Kami memindahkan barangan (hampers, saguhati dan segala keperluan) ke atas bahagian belakang Hilux. Kami meneruskan perjalanan bersama dengan Hidayah & Solehah. Berlima. Tak lama, setengah jam setelahnya, kami berhenti di stesen minyak sementara menunggu 2 buah kenderaan lagi dari team Nisa’ tiba.
1.00 pagi  : Memulakan perjalanan konvoi ke Hentian Tapah.
3.15 pagi  : Selamat tiba di Hentian Tapah. Hidayah aka co-pilot yang bertugas meneman pemanduan (pilot Solehah) tanyaku berulangkali,

“Nak makan tak Syifa’? Pergilah makan sekali dengan diorang”.  

Walaupun aku menolak, Hidayah masih saja memujuk. Oleh kerana ditanya berulangkali, maka aku tak bermaksud mengecewakan, aku turut ikut serta keluar menikmati angin sejuk pagi berteman secangkir teh tarik panas. Nikmat juga. Padahal, andai saja dia tahu aku sejak jam 1 pagi tadi bergelut untuk tidur dan aku langsung tak tidur.  Segala butir-butir bicara dan nasyid ‘Ainul Mardhiah’ yang dinyanyikan aku dengar semuanya. Aku berharap-harap dapat tidur barang sejenak ketika di Hentian Tapah sementara yang lain ke tandas dan minum. Aneh-aneh saja diri ini, waktu begini susah benar untuk melelapkan mata. Walhal, petang jumaat semalam sewaktu kelas Research Method selama 4 jam, tak disuruh-suruh, belum malam, elok saja kalah dalam tempur medan ilmu. Asyik tersengguk-sengguk walaupun setelah habis kunyah mentos dua ruas.

“Ni consider makan apa ni jam 3 pagi? Sahur ka?”, tanyaku melihat Kak Syumaila berselera makan pada pagi gelap begini.

“Apa-apalah. Lapar”

Kak Syumailah J

6.00 pagi :
Tiba di Masjid Jame, Grik. Mandi, bersiap-siap dan solat subuh di sini. Sempat juga berlunjur kaki di sini (ayat santun, nak kata sempat jugalah layan hajat mata untuk tidur). Bersarapan roti canai di warung berdekatan dengan masjid dan bertemu team yang lain selain daripada Nisa’ di sini.
Sahabat solehah saya merangkap kuliahmate, classmate dan musafir mate - Athirah Ibrahim
(Kita ambil gambar masjid, ada pula yang berposing sakan hehe)

9.00 pagi  : Kami semua berkumpul untuk mendengar sesi taklimat dan ucapan daripada di perkarangan Kompleks Mahkamah & Pentadbiran Agama Islam Gerik. Kami dimaklukan bahawa Program Misi Kesukarelawan ke Kampung Selaor adalah dengan kerjasama Muslim Care, MAIP, Kelab Vitara dan Nisa’. Sesi taklimat berakhir dengan fotografi dan  kemudian kami menyusun atur penumpang memenuhi kenderaan lasak tersedia – Vitara, Hlux, Ford Renger. Kesemuanya ada 7 biji.

 

Taklimat

9.30 pagi : Memulakan perjalanan melalui Banjaran Titiwangsa melewati Royal Belum, Hutan Simpan (Rainforest) dan yang selebihnya aku rasanya banyak menonton di balik kaca pemisah kenderaan dan pemandangan alam di luar tanpa bertanya pada empunya vitara yang kami tumpangi – Pakcik Zahari. Menghayati pesona Banjaran Titiwangsa disulam zikir pada Tuhan. Tak lupa, pesan diri tentang pentingnya menghargai sebuah perjalanan, supaya diri tidak terlalu objektif pada tujuan dan titik akhir tetapi malangnya meninggalkan hikmah-hikmah @ ibrah yang bertaburan yang sepatutnya dikutip di tepian pengembaraan. Ah, kau harus baca sendiri buku The Alchemist (Paulo Coelho). 

Walaupun sekali sekala adalah juga melayan perasaan.  Boleh kata  ‘escapism’ untuk tidak mengambil tahu kusut isu negara, mungkin? PRK Port Dikson minggu hadapan.



11.40 pagi : Pengembaraan berbatuan bermula menerusi tanah merah. Menikmati perjalanan mendaki dengan enjin berderu-deru, tayar vitara melintasi denai papan yang merentangi sungai, setiap hentakan ditambah melodi instrumental – Ed Sheeran di gegendang telinga. Bukankah segala bentuk kesempurnaan alam yang dinikmati hari ini datang dariNya jua?
Pakcik Zahari, dalam bual-bualnya ketika pemanduan –

“Masuk hutan, kena ikut undang-undang Hutan. Kita tak boleh kawal stereng. Kita kena ikut jalan dan tayar. Ikut lurah yang orang lain dah duk jalan sebelum ini. Kita kena ikut dialah. Kita kena ikut lurah tayar. Kita lawan, sat lagi bahaya”,

sambil berusaha seboleh mungkin mengawal stereng melalui jalan bukit yang bertanah merah. Ada kala jalan kekanan, tetapi pusingan stereng arah berlawanan. Itu ilmu baru bagi kami – dalam Vitara bersama lagi 2 orang sahabatku ( Aimi dan Soleha).

Perjalanan masuk ke kawasan Kampung Selaor hampir 1 jam. Mujur tidak hujan, jika tidak tanah menjadi lembab dan bertambah susah mengawal pemanduan. Katanya, barangkali perjalanan yang 1 jam itu boleh jadi sampai 4 – 5 jam.




Vitara kami yang dipandu oleh Pakcik Zahari (bersama Soleha dan Aimi)

1.00 tengahari  :  Alhamdulillah. Kami selamat tiba di perkampungan orang asli Kampung Selaor setelah rundingan wakil kami dengan Tok Batin. Bertamu di tempat orang, kita hormati adat dan orang pentingnya – jika di sini Tok Batin, Ketua Sidang (begitulah).

Kami beramah mesra dengan orang asli. Nak berbual panjang itu tidaklah, kami masih kekok dengan persekitaran di sini, mereka pula kelihatan was-was dengan maksud kehadiran kami. Kak Long dan Kak Farhana saja kelihatan ramah, mungkin kerana mereka sudah beberapa kali turun ke Kampung Seloar.

Baru sampai

Sebahagian kami memunggah barang ke dalam dewan yang ada di situ – itulah satu-satunya bangunan berdinding batu dengan lantai simen. Rumah-rumah di sini kebanyakannya berlantai papan dan beratap rumbia (ada juga yang beratap zink). Bertambah kekok adalah anjing-anjing di sini yang dijadikan binatang peliharaan dan sentiasa berlegar di mana-mana. Nak melangkah jauh ke dalam perkampungan pun aku berkira-kira bimbang dikejar.  Satu rumah memelihara dalam 2-3 ekor anjing. Kami menghulur keropok pada orang asli rumah ke rumah– pada hematku sebagai memancing hati mereka untuk bersama kami untuk beraktiviti sebentar lagi.   Aku sampai pada perkarangan satu rumah ketika hendak menghulur keropok, aku lihat beberapa orang asli lelaki  sedang membakar hujung kayu seakan lidi. Tebakku, sate barangkali.  Sekadar berbasa-basi,

“Wah sudah mula memasak, memasak apa?”

Kemudian aku dengar mereka seakan berceloteh bahasa mereka sesama sendiri yang aku kurang mengerti, mujur Ustaz Azizan & Ustaz Shafiq ada disitu sebagai penterjemah. Kata orang asli, “apa pula memasak, ini sumpitlah. Itu pun tak tahu”. Haha.  Naif sungguh.  

Kelihatan juga beberapa perempuan kecil – usia dalam 8 ke 9 tahun sedang membasuh perkakas rumah di tali air di tengah-tengah kampung. Aku sempat beramah mesra bertanya nama masing-masing.  Sungguhpun mereka berbahasa Bajai, mereka boleh faham bahasa melayu pertuturan biasa.  Alhamdulillah terlerai kerisauan kami tentang bahasa komunikasi yang bakal digunakan ketika aktiviti nanti .

Hujan mula renyai-renyai. Kami berkejar ke dewan penginapan merangkap tempat memasak.
Team memasak mula menyusun perkakas dan membuat persediaan untuk memasak sebagi menu makan tengahari seisi kampung walaupun anggaran team memasak kami selesai dalam jam 3 petang. Oleh kerana telah dibahagi-bahagikan peranan masing-masing, kami yang diamanahkan sebagai unit aktiviti bersiap sedia untuk solat terlebih dahulu (Jama’ Taqdim). Bergilir-gilir.  Bilik air yang ada perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan limitasi bekalan air bersih, begitu menduga pada awalnya. Mereka yang selebihnya bertungkus-lumus dalam menyiapkan makan tengahari pula.

Pengagihan makan tengahari 



Sukaneka dan senaman



Aktivit pertama kami setelah makan tengahari. Ada anak kecil orang asli yang berselendang, cuba iru macam kami. Comel. 
                                                                                                              

Taklimat penjagaan gigi
Taklimat penjagaan gigi oleh pelajar perubatan dari UITM (Puncak Alam jika tak silap) di sungai untuk kanak-kanak. Sementara waktu ini aktiviti menyumpit untuk lelaki dewasa bersama orang asli.
Pada sebelah malamnya,kami ada tayangan movie (movie kartun tak salah). Aku pun boleh terlelap sewaktu menonton.  Penat kot.  Pagi handle modul, malam sebelumnya tidur dalam vitara.

30 September 2018 (Ahad)          

Kak Syahira
Aktiviti pagi ahad agak santai, pagi kami diawali dengan subuh berjemaah dan tazkirah oleh Ustaz Rashdan berkenaan peranan seorang manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Telefon ku hilang pada ketika ini untuk mencatat penuh pengisian. Nak mencari keadaan agak gelap.
Bahasa Jahai yang sempat dipelajari oleh Kak Shahira Sya’rani sewaktu sembang bersama dengan isteri Tok Batin. Baguih naaa. (aku tolong snap saja).

Bahasa Jahai

Namanya Buah Ranjing. Rupa seperti buah rambai, rasa manis-manis seperti manggis.

 
Free market

Penyerahan sumbangan kepada orang Asli oleh wakil NISA' (Pengarah Program)

Menjamu Orang Asli Kampung Selaor makan tengahari sebelum bergerak pulang

3.00 petang
Selamat tiba di tempat pertemuan awal semalam di Majlis Agama Islam Grik, Perak.  Oleh kerana, Hilux kami mengalami sedikit masalah (tidak pasti apa masalahnya), aku sempat membersih diri dan bertukar pakaian untuk solat sementara menanti Hilux siap dibaiki. Siap solat jama’ taqdim Zohor dan Asar.

4.00 petang
Kami menikmati makan tengahari di kedai makan berdekatan kawasan masjid bersama semua sukarelawan. Rupanya mereka lebih awal berada di situ. Sepanjang perjalanan pulang banyak juga perkara yang menjadi perbincangan kami, seharusnya begitu, seharusnya begini. Bagaimana program ini boleh jadi lebih baik lagi daripada ini. Kritik diri. Dan persoalan kami yang paling mendasar  ;

‘Dakwah seperti apa yang kita telah bawa pada orang Asli itu sebenarnya?’
‘Sungguhpun tidak ada dalam tentatif untuk berceramah secara terus kepada orang Asli, mengapalah ketika sesi aktiviti kita tak selitkan zikir atau nasyid?  Sebaliknya, apa yang diisi adalah lagu kebiasaan yang didengar orang asli. Bukankah dengannya kita boleh menyelit bawa pendekatan hiburan dalam Islam. Bukan sekadar bersuka-ria semata?’

Kemudian sahabat kami, Athirah menambah.

“Kita tak boleh jadikan program seperti ini sekadar  touch-N-go, kerja dakwah kita pada mereka belum selesai, mereka belum melihat Islam yang sebenar-benarnya daripada kita setakat satu capaian program saja. Dan kemudian kita tinggalkan mereka untuk cari pula mad’u lain pula. Perlu ada penerusan untuk turun lagi di sini untuk bina hubungan dengan mereka. Bukan mudah untuk turun mengenal mereka, kita telah bina batu asasnya, kita perlu usahakan untuk datang kembali…”

Namun, bilakah lagi agaknya kita akan kembali ke sana lagi?

Dalam berbanyak-banyak pengalaman di usia mudaku, 25 tahun ketika mengikuti kembara ini ( 29 & 30 September 2018, aku baru berkesempatan habiskan penulisan), aku kira pengalaman ini adalah yang paling berharga. Belajar dari kehidupan, yang selama ini diriku terlalu tenang dengan hidup nafsi-nafsi dan mengejar kemajuan diri. Sedangkan keadaan mereka jauh dari kemajuan. Cahaya elektrik dan SOLAR mungkin dibekalkan oleh JAKOA, namun aku kira yang paling berharga cahaya Iman dan Islam.
SOLAR yang dibekalkan oleh JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli). Selaku orang yang dalam penyelidikan berkaitan energy storage, benda alah ini sejujurnya membuatkanku sedikit teruja.


Semoga bertemu lagi.
p/s – banyak lagi yang seharusnya ditulis. Ini pun aku tulis runcit-runcit. Ada yang sudah samar dalam ingatan dan memori. Namun,aku kira jika menunggu catatan ini benar-benar sempurna, rasanya sampai ke sudah tidak publish catatan ini.


Semoga bermanfaat perkongsian.

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...