Nasyid Instrumental

31 Ogos 2018

A Day With Syamina


Bismillahirrahmanirahim
Flashback (Tulis semula)

Masjid KUIS, Bandar Seri Putra

I

Ada ketika, pernah rasa macam tak jumpa hati nak baca Al-Quran dalam bilik sendiri. Rasa malas dan tak bersungguh. Cuma ketika itu, hanya dalam bisik hati sendiri bahawa aku teringin sangat nak tahsin dan mula menghafaz semula. Tiba-tiba, bayangan Syamina muncul. Syamina, pertemuan pertama kami sewaktu bengkel penulisan PAMI. Dari sehari ke sehari, terasa nak hubungi dia. Tetapi entahlah apa dia perkara yang aku terlalu sibukkan pun tak tahu yang sampai ke sudah tak hubungi dia.

Hinggalah ke suatu hari, aku ajak Nadzirah hadir ceramah ke Masjid KUIS. Selesai saja habis ceramah, kami solat isyak berjemaah sekali di situ. Rasa macam hebat sungguh cara Allah susunkan pertemuan antara aku dan Syamina. Habis berdoa, salam orang sebelah, tahu-tahu rupanya Syamina ada kat sebelah.

"Ya Allah, Syamina, saya baru terfikir nak hubungi awak!", ujarku sedikit teruja.

"Saya pun macam rasa Syifa yang solat sebelah saya tadi. Rasa macam Syifa' nak jumpa saya", balas Syamina.

Ketika tu, rasa sebak nak nangis pun ada. Syamina ini Allah gerakkan perasaan dia untuk bertemu aku atau bagaimana. (Sejujurnya, sedikit seram sejuk pun ada juga. Jangan-jangan wali Allah ini)

Betapa hebatnya Allah susunkan pertemuan. Dan Allah tahu betapa kuatnya keinginan kita untuk menghafaz Al-Quran semula. Maka, Allah tunjukkan jalan dan orangnya untuk membantu kita dekat dengan Al-Quran. Kita nyatakan rasa atau tidak. Allah tetap tahu. The Most Undestanding one.

Juga Allah sentiasa memudahkan segala niat-niat yang baik.

II

Ifthar bersama

Kita minta seorang guru quran, dan Allah beri lebih daripada itu. Nikmat bersahabat dengan seorang sahabat solehah. Maka nikmat Tuhan manakah yang hendak engkau dustakan?

30 Ogos 2018

Ceconteng Hati #1



Laksana watak Peterpan,pernah berharap tetap jadi kanak-kanak supaya punya imaginasi yang tak terbatas dan buat banyak hal yang menggembirakan. Tak perlu berat-berat fikir tentang perkara jauh dan tak terjangkau.

Tapi adakalanya, berharap juga alangkah baiknya kematangan hari ini ada pada diri 5 - 10 tahun yang lalu. Banyaknya perkara boleh selesai dengan tenang melalui kematangan fikiran. Atau mungkin keserabutan hari ini dengan kematangan fikiran 5 tahun mendatang.

Wish to stay young physically, but grow in maturity.

19 Ogos 2018

Selamat Berbahagia Puan Jamilah!


Aku masih ingat bicara kita tentang masa hadapan yang kita khawatirkan. 
Dan hari ini sebahagian kita telah melaluinya. 


Entah kenapa kerap aja terkenang-kenang. Lantas sengaja merakam memori lalu pada bait-bait tulisan di sini.

*Tulis sambil play instrumental lagu Sahabat Sejati (UNIC)*

Pernah kami sama-sama terlibat sebagai urusetia kursus kahwin sebagai memenuhi projek subjek keusahawanan.  Alang-alang itu kami terus saja jadi peserta kursus kahwin kerana kebetulan belum ada sijil kursus lagi. Konsep kursus kahwin, setiap selesai satu slot akan ada sesi zikir munajat dan muhasabah. Kali itu, sesi muhasabah adalah tentang keluarga. Ingatilah pengorbanan Ibu dan Ayah masing-masing.

Dan aku, pantang orang sebut-sebut bab ibu dan ayah, bertambah usia sebegini pun aku masih rasa sensitif saat bicara tentang ibu dan ayah. Hari itu, macam biasa, seperti program motivasi zaman UPSR dahulu kala, ya, kitalah yang beriya menangis. Perasaannya macam nak berlari pulang & peluk ibu ayah. Serasanya banyak lagi kebaktian sebagai seorang anak yang belum selesai.

Dalam hangat-hangat air mata. Aku baru teringat  Jamilah baru sahaja kehilangan ayahnya 2 bulan lepas. Aku toleh ke kanan. Aku perasan pandangan matanya tepat ke hadapan, pandangan tembus, tiada air mata. Aku tahu dia sedang menahan tangis dalam dada. Padahal dia lebih patut merasa sebak berbanding aku. Tanpa berkata apa-apa. Aku pegang tangan Jamilah,

‘Ayah Jamilah memang dah takda, family Jamilah jauh. Tapi Jamilah jangan lupa, orang family Jamilah kat sini’

Aku terus peluk Jamilah seeratnya. Pelukan itu seolah saling mengerti bahasa antara kami. Bukankah persahabatan itu juga sebuah ikatan hati?

**

Busana pink dengan batuan manik yang dijahitnya sendiri cantik terletak dikenakan di hari bahagianya.  Jamilah beberapa kali panggil aku agar bergerak ke sisinya, duduk sebelah bantal  yang dijadikan alas pengantin. Buat meneman debar di hati agaknya.  Padahal, andai saja Jamilah tahu, debar di hati aku pun boleh tahan rancaknya! Macam aku pula pengantinnya.

“Aku terima nikahnya  Jamilah binti Mohamed dengan mas kahwinnya…..”
“Sah”
“Sah”

Jamilah yang dari tadi memandang ke hadapan tenang. Dari semalam lagi tenang. Aku yang hairan, Jamilah bakal terima orang baru dalam hidup dia, yang dia sendiri tak begitu kenal siapa. Masakan boleh setenang itu pada sebuah penerimaan? Aku yang gusar terlebihnya.

“Syifa, bila masanya telah sampai. Kita yakin dan rasa tenang dengan orangnya. Kita serahkan pada Tuhan atas segalanya. Insyallah perasaannya tenang dan baik-baik saja”

Akad nikah selesai. Jamilah masih terpaku di situ. Pandangannya lolos ke hadapan. Buat suaminya barangkali.  Sebakku bertali arus.  Hampir 5 tahun bersahabat, aku menyaksikan segala perjalanan jauh dan menyakitkan Jamilah lalui untuk sampai pada detik ini. Jamilah berhak untuk merasa bahagia ujarku berkali-kali. Namun, kita lupa, kesakitan dan kekecewaan lalulah yang sebenarnya memaknakan erti kebahagiaan hari ini. 

Aku genggam erat tangannya, seakan menyedarkan dirinya bahawa akad yang sah telah terlafaz.

“Jamilah. Jamilah dah jadi isteri kepada seseorang.  Inikan waktunya yang Jamilah nantikan selama ini”
“Syifaaaaaaaa….”

Pelukannya erat sama seperti peristiwa hari kelmarin di kursus kahwin. Engkau tahu sahabat, perasaannya berat, seakan melepaskan sebuah persahabatan. Namun setelah yakin ada yang lebih baik menjagamu, meneman sedih dan gundah hatimu.  Insyallah, baik-baik aja semuanya.  Bukankah Allah telah menyusun takdir yang indah buatmu?

Selamat berbahagia Puan Jamilah!


Maksudnya :"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)" Az-Zukhruf :67

 Sudah menjadi adat berkawan, kadang-kadang hubungan kekal berpanjangan, tetapi ada yang berakhir dengan permusuhan. Islam mengajar kita supaya meletakkan taqwa sebagai asas persahabatan. Jika ini menjadi pegangan, insya-Allah, hubungan mereka akan terus berkekalan. Mereka tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat perlindungan Allah di hari akhirat kelak, dan Allah memberi jaminan mereka tidak merasai sebarang kebimbangan dan tidak akan berdukacita apabila tiba saat kembali menemui Tuhan.

Moga-moga persahabatan ini ke syurga :)

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...