Nasyid Instrumental

19 November 2018

Masjid Nabawi : Syafaati Kami Ya Rasulullah

Masjid Nabawi

Prolog

“Surah Ar-Rahman lagi?”

Aku menoleh ke arahnya. Mungkin Fahima memerhati aku asyik mengulang surah yang sama pada setiap kali selepas solat fardhu di sini.

“Iya. Sebab suka ”

Pendek jawapanku. Antara malas dan berusaha juga melayan soalannya. Boleh saja ingin meluahkan cerita, namun  ketika ini, berdiam diri seakan ubat yang lebih cepat sembuhnya. Sebegitu banyak perkara yang mengecewakan dan mencengkam perasaan berlaku di tanah air, kemudian Tuhanmu yang Maha Penyayang dalam firmanNya yang berulang-ulang memujuk, ‘Maka nikmat Tuhan manakah yang hendak engkau dustakan?”

Harus sampai ke tahap manalah hendak dibawa kesedihan dan dukacita berpanjangan itu.  
Bukankah nikmat & rahmatNya sebegitu luas untuk difikir-fikirkan?

Catatan di Masjid Nabawi (Dis 2015)

Kawasan luar Masjid Nabawi
Keadaan di pintu utama sebelah kiri masjid Nabawi agak padat dengan manusia pelbagai negara yang keluar dan masuk.  Ketika itu waktu perantara antara Zohor dan Asar.  Aku dan Fahima setelah mengambil kasut kami dalam bungkusan beg kain, bersedia untuk keluar untuk selesaikan hajat manusiawi, memperbaharui wudhu’ selain mengisi semula botol kosong kami dengan air Zam-zam.  Kami menghala ke bilik air yang tersedia di bahagian laman masjid Nabawi di tingkat bawah (perlu melalui elevator/ tangga).  Ketika dalam perjalanan keluar di pintu Masjid Nabawi, kami ditegur seorang wanita berbangsa arab dalam linkungan usia 50-an.

“Assalamualaik! Hal Babur Raudhah maftuhah? (Adakah pintu raudhah dibuka?) ”,

Wanita itu memandang tepat pada wajah Fahima menanti jawapan. Fahima kelihatan terpinga-pinga.  Aku yang hairan. Untuk soalan itu jawab sajalah, Na’am atau La’. Oleh kerana dia tidak tanya pada aku, aku diam sajalah kerana fikir Fahima boleh jawab sendiri pertanyaan semudah itu. Pintu Raudhah tidak dibuka sepanjang waktu untuk jemaah muslimah, cuma pada hari dan waktu tertentu sahaja dibuka seperti selepas solat Asar dan selepas Isyak.  Berbeza dengan Jemaah lelaki yang dibuka hampir sepanjang waktu.

Fahima mengeleng seraya menjawab, “No”.

Aku dah tersengih-sengih. Orang tanya bahasa Arab, ada pula dia jawab dalam bahasa Inggeris. Wanita Arab yang bertanya itu langsung terus melangkah ke dalam, sedikit terkejar. Mungkin oleh kerana keadaan di pintu masuk yang sedikit bertolak-tolak.

“Haishlah. Macam tak pernah belajar arab saja jawabnya. Waktu inilah nak praktis cakap Arab”, komenku pada Fahima setelah kami keluar dari pintu Masjid Nabawi.

Keadaan laman luar Masjid Nabawi agak lapang dan tenang.  Ada yang berkelah bersama keluarga. Kebiasaannya, manusia mula datang berbondong-bondong ketika waktu solat, kawasan laman yang lapang ini juga sebahagiannya jadi tempat untuk menunaikan solat.

“Entahlah. Gugup tiba-tiba. Punyalah tak sangka orang Arab tu cakap arab dengan Ima. Faham tak maknanya apa?”

“Nak kata diri sendiri ada muka orang Arablah tu!”,  aku memandangnya dengan ekor mata.

“Kak Ngah ada? Tak ada kan, tak ada kan?”, dia terkekeh-kekeh  ketawa geli hati. Bahagia sungguh dilihat ada iras-iras orang Arab.

“Malas nak layan”. 

Manusia perasan itu ada di mana-mana termasuk di Masjid Nabawi.


***


Karpet Hijau (Batasan kawasan Raudhah)

Setelah selesai Isyak berjemaah.

Sukar digambarkan perasaan apabila langkah mulai hampir pada kawasan Raudhah. Bersebelahan kawasan Raudhah adalah makam Rasulullah. Sollallahu’alaihi wasallam. Kami boleh mengetahui batasan kawasan Raudhah adalah hamparan karpet hijau, sementara kawasan selebihnya di Masjid Nabawi berhampar karpet merah.

Jemaah Malaysia dikelompokkan bersekali dengan Jemaah Indonesia bahagian hadapan selatan pintu Raudhah. Jemaah beserta mutawifah masing-masing. Kelompok kami menanti giliran dengan sabar. Paling awal menunggu, antara paling akhir masuk.  Boleh saja ikut gerombolan bangsa Arab lainnya ikut ke dalam, cuma mungkin ianya menjadi medan tempur yang tidak layak buat kami. Orang Malaysia dan Indonesia fizikalnya agak kecil. Kudratnya juga begitu.

Pintu Raudhah dikawal oleh pengawal muslimah berbangsa Arab berabaya hitam berniqab. Bercakap dalam bahasa arab komunikasi yang mudah difahami semua. Ajaib bukan di sini? Apabila yang tidak boleh berbahasa Arab juga boleh faham bahasa Arab ketika itu. Mendengar arahan dengan baik dan saksama.

“Isbir! Isbir!”, arah pengawal Raudhah.

Namun, yang tidak mahu menunggu giliran, terus aja merempuh. Barangkali bukan bahasa isunya yang membuatkan manusia tidak faham.  Bahasa yang mudah difahami, namun sukar untuk mentaati melaluinya.

Tanpa mutawifah, kami cuma bertiga ketika itu – aku, Fahima dan Umi. Zikir-zikir dan doa dalam buku umrah telah habis kami baca beberapa kali. Walaupun setelah berganjak beberapa kali kedudukan tempat duduk, keadaan di pintu Raudhah masih juga agak sesak seakan tidak berkurang. Oleh kerana menunggu agak lama, aku dan Fahima kami bernasyid berdua, tanda ingatan kami pada Rasulullah. Selagi manusia tak surut-surut, kami berdua berganti nasyid berikutnya.


Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

----

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Karena pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Kutahu cintamu kepada ummat
Umati umati
Kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafa'atkan kami
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kurniakanlah syafa'atmu

Makam Rasulullah telah kelihatan dari kejauhan, pesan Umi pada kami berdua - 

 “Ucapkanlah salam buat Rasulullah. Sampai sana nanti jangan tamak. Solat dua rakaat di Raudhah dan terus cepat-cepat keluar dari Raudhah. Doa nanti saja ketika di karpet merah. Biar ramai lagi manusia beroleh tempat untuk bersolat di situ”.

Dan manusia berebut-rebut untuk masuk ke Raudhah dan mendekati makam Rasulullah. Solat di Raudhah aku kira mungkin sekitar seminit setengah atau dua minit.  Banyak masanya duduk-duduk iktikaf di karpet merah sambil memandang sayu pada makam Rasulullah. Ya Rasulullah, aku hadir menziarahi makammu. Dan dalam aduan-aduan kecil perihal kerumitan kehidupan dan perjuangan, yang aku kira sebenarnya langsung tidak sebanding perjuangan Nabi. Tetapi entah kenapa kita tetap juga ingin mengadu. Atau boleh dikira, bahawa adakah hidup ini sebenar-benarnya telah menyambung risalah yang dibawanya atau tidak? 

Muhasabah aku ketika itu. Pengalaman ini, adalah satu umrah di hujung tahun ketika cuti sekolah. Belum haji yang pastinya mengumpulkan lebih ramai manusia. Pengalaman berada dekat dengan makam Rasulullah pada satu waktu solat. Baru Muslimah sahaja, belum ditambah Jemaah muslimin yang ada. Seluruh manusia yang mengaku umat Rasulullah belum lagi benar-benar dikumpulkan. Umat Rasulullah dari zaman para sahabat sehinggalah ke abad ini.  

Berebutnya sudah sebegini.

“Lihatlah betapa ramai umat Rasulullah, bukan kita saja yang umatnya, bukan kita saja merinduinya. Maka di akhirat nanti, berjayakah kita bertemu Nabi memohon syafaatnya di tengah-tengah keramaian dan tolak-tolak manusia yang juga turut mengaku umatnya?"

Syafaati kami Ya Rasulullah.

Untuk hari-hari yang kami tenggelam dalam urusan dunia tanpa selawat kepadamu, untuk hari ini di hari kelahiranmu, apa salahnya kami melahirkan rasa cinta dan mengingatimu dengan berlebihan daripada selalu?

Allahumma solli’alaihi wasallam.

Yang tetap dalam kerinduan, kerinduan untuk kembali


Taqabalallahuminna wa minkum.
Moga tulisan ini bermanfaat. Berceramah atau menjadi panel forum memang bukan saya orangnya, maka tulisan ini sajalah yang termampu untuk menzahirkan sebuah rasa cinta kepada Baginda. 

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...