Nasyid Instrumental

02 Julai 2019

My Spiritual Journey : Quran PART I

Salah sebuah masjid di Padang Indonesia - Masjid Taqwa 

Semalam usai pulang habis kerja, singgah solat di Masjid Al-Umm untuk maghrib dan Isyak sekali. Selesai saja solat Isyak, sedang berkira-kira untuk membaca beberapa helaian Al-Quran sebelum pulang. Sementara itu, aku men'scroll smartfon ku sebentar.

Lalu, aku ditegur oleh seorang nenek yang kira-kira usianya 70++.  "Nak baca Al-Quran ke?", tanyanya.

Jawabku pendek, "Ya Nek"

"Haa, bacalah kalau nak baca. Nenek nak dengar. Baca kat sini. Nak baca surah apa tu? Muka surat berapa?".

Aku jawab aku ingin membaca Surah Al-Mujadilah, padahal surah hafazanku yang telah biasa diulang dan pernah ditasmik. Nenek tahsin sendiri bacaan Al-Quranku, yang aku kira sebaris ayat Al-Quran pun entah berapa kali dia menegur kesalahan tajwidku. Muhasabah sendiri kerana rasanya sudah beberapa ketika juga tiada yang tahsin bacaan Al-Quranku. Konon bahawa telah berpuas hati dengan bacaan Al-Quranku sekarang - sedangkan banyak perlu ditambah baik lagi. Itu mujur aku pilih baca surah hafazan, jika agaknya aku baca ayat yang bukan surah hafazan mungkin lebih banyak sangkutnya.

"Lambat sikit baca tu. kalut-kalut nak pergi mana?"
"Dengung sikit"

Kemudian, ada pakcik menegur untuk menutup pintu utama ruangan solat dan meminta berpindah ke tempat lain (bahagian beranda). Aku agak nenek tidak boleh mendengar dengan jelas kerana walaupun ditegur nenek tetap menyuruh aku mengaji di situ. Selang beberapa minit, ada seorang lelaki (ustaz yang sedang mengajar kelas tahsin disitu) datang.

"Mak, mereka nak kunci pintu ini. Mengaji di luar ini ya."

Tambah dia lagi, kali ini dituju padaku, "Oh nak mengaji ya? Ke mak saya yang suruh mengaji? Maaflah, dia memang selalu minta sesiapa baca Al-Quran. Itu hiburan bagi dia".

Ah, sebaknya rasa. Selama ini apakah hiburan diriku?

"Oh takpa Ustaz. Saya okay ja. Lagipun dah lama tiada orang check bacaan Al-Quran"

"Mak saya ini dia tak berapa ingat dah. Tapi ingatan dia pada Al-Quran ini insyallah kuat lagi".

Sentap lagi rasa. Jika hayatnya seseorang itu hidup dengan Al-Quran, hujung hayatnya sungguhpun ingatan tentang berbagai hal keduniaan telah pun luput, ingatan dia pada Al-Quran tetap kuat. 

****

Aku terngiang sebuah pertanyaan seseorang tentang apa 3 goals yang ingin dicapai pada tahun ini. Yang pertama dan kedua, aku kira agak keduniaan. Yang ketiga, kataku, biarlah menjadi rahsia diri kerana perjalanan kearahnya aku masih berusaha lagi. Sisi spiritual diriku - untuk hatiku dekat dengan Al-Quran.

Ya Allah, rahmatilah hidup kami dengan Al-Quran.

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...