Nasyid Instrumental

26 Mac 2019

Catatan Senja Tiga Warna

Related image
"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu". (Addhuha : 3)

Setelah 'Asar, balik lab, fikiran tak tenang. Duduk lama-lama di Masjid UKM. Iktikaf lama sikit. Tak tahu nak mula dari mana. Bacaan yang biasa atau surah pilihan. Teringat kebiasaan sewaktu menunaikan umrah beberapa tahun lalu, Surah Arrahman benar-benar mengembalikan memori solat jemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Baca sebanyak mungkin. Habis satu round, ulang lagi second round dan round seterusnya, hinggalah berhenti pada satu ayat. Lepaskan segala rasa yang tak sepatutnya kita punya. Ini dunia. Apalah nak disemak-semakkan dalam kepala. Perasaan itu bukan untuk dikalahkan, uruskanlah perasaan itu dengan iman. Satu ayat itu, jenguk pula tafsirnya, Surah Arrahman ayat 29.

"Apa yang dilangit dan dibumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu dia dalam kesibukan (Allah sentiasa menciptakan, menghidupkan, mematikan, memelihara, memberi rezeki dan lain-lain)"

Teringat pada maksud doa iktiraf (pengakuanku), "Wahai Tuhan, jika Engkau tidak memakbulkan doaku, maka pada siapalah lagi aku ingin berharap untuk memakbulkan doaku". Saat kita merasakan bahawa Allah meninggalkan kita & doa kita, tidak memandang doa kita lantaran dosa-dosa kita, ayat ini memujuk rasa. Sesungguhnya Allah itu sentiasa sibuk pada segala permintaan hambaNya di langit dan dibumi.

Tenang-tenanglah duhai hati, bukankah bahagia akhirat yang kita cari? Selayaknya hamba, teruslah meminta-meminta padaNya.

***
Sepertimana pujukan Allah pada Rasulullah apabila Baginda 6 bulan terhenti tidak menerima wahyu, hingga golongan musyrik berkata 'Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan benci kepadanya!'

"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu". (Addhuha : 3)

Begitulah caranya Allah menjawab persoalanmu. Allah tak pernah salah dalam menyusun atur takdir hamba-Nya. Teruslah berbaik sangka dengan luasnya sifat Arrahman Allah itu.

09 Mac 2019

Rindu Pada-Mu

'Maha Suci yang menghilangkan segala kedukaan, Maha Suci yang menghapuskan segala kesedihan. Maha suci yang melenyapkan segala hutang. Wahai yang menghilangkan! Hilangkanlah! Hilangkanlah daripada kami segala kesedihan dan kesusahan dalam seberapa segera' - doa di penghujung surah Yasin

Kita mengharap pagi ini seperti pagi-pagi hari kelmarin yang akan berlalu tenang. Namun, mendung semalam terasa menekan-nekan di jiwa.

"Kenapa ya ada rasa macam ini? Macam sedih", soalnya bercampur luahan rasa.

"Awak semalam pulang jam berapa?"

"Balik lewat. Setelah teman adik mendaftar sekolah. Terus ke meeting. Sampai sini semula jam 12.00 malam"

"Awak penat mungkin".

Nasyid Rindu PadaMu diulang main, melatari perbualan kami, sementara menyeterika  pakaian untuk ke tempat kerja.

"Lama tak dengar lagu nasyid daripada Yassin. Best juga"

"Kegemaran. Kerap juga pasang. Suka kerana liriknya"

"Ya..."

"Liriknya sangat mendalam. Perihal keTuhanan. Ada satu bahagian lirik tu, dalam  pengaduan kita pada Tuhan, yang kita tak tahu bagaimana hendak gambarkan. Kita tanyakan pada Allah. 'Apakah aku diterima, atau Kau akan membiarkan saja, kerana ku berdosa. Jangan biarkan ku terhina'. Entahlah. Kita rasa macam kita buat amal banyak. Tapi kita tak pasti Allah terima ke tak. Atau Allah biar saja kita ini"

Tangisan dia tiba-tiba makin kedengaran. Kali ini dengan sedu-sedan. Sepi seketika. Tak tahu apa yang lebih patut dituturkan untuk memujuk rasa sedih seorang sahabat.

"Saya takut awak....", dia menangis lagi.

"Saya takut Allah tak bagi hidayah pada saya lagi...."

Muhasabah buat diri, yang entah bila kali terakhir merasa mendung hati dan teresak-esak sebegitu sepertinya kerana risaukan rahmat Tuhan tidak berkunjung pada diri. Yang selama ini keterlaluan meletakkan perasaan sedih pada hal yang tidak sepatutnya. Yang setiap kali merasa berat melakukan amal, tak pernah merasa risau bahawa Allah menarik hidayahNya dari diri. Al-Fatihah buat hati yang lalai dengan dunia.

Punya sahabat yang baik itu juga rezeki.

**

"Tak boleh solat. Tapi tidak bermakna tidak boleh berdoa, bukan?" - Ayah

'Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingatiMu
Rindu padaMu
Sentiasa mendambakan kasih dan sayangmu

Semalam aku bermimpi
Di dalam hujan ku berlari
Berlari mencari memanggil-manggil namaMu
Nama-Mu yang sempurna'

08 Mac 2019

Warkah buat Anakku, Nusaibah #1

"Pada abad ini, kurniaan yang paling besar adalah menyelamatkan iman"


Assalamualaikum Anakku Nusaibah,

Entah apa yang menggerakkan Ummi untuk mula menulis. Perasaannya sangat aneh, Ummi belum pasti tentang jodoh - dengan siapa atau rezeki pernikahan Ummi seperti apa yang Allah aturkan untuk Ummi. Lagi pula, tentang kewujudan kamu. Namun, keyakinan Ummi pada Allah, sangka baik Ummi pada apa yang terbaik yang Allah tetapkan untuk Ummi adalah segalanya.

Sekarang Ummi masih di lab, mencari kekuatan untuk sambung pembetulan jurnal Ummi. Ummi memilih untuk menulis, yang moga-moga suatu hari penulisan ini bermanfaat buat kamu.

Anakku, Nusaibah. Usia Ummi tidaklah terlalu dinihari, 26 tahun pada tahun ini. Akan tetapi kerisauan Ummi dan keluarga Ummi akan jodoh Ummi sedikit sebanyak memberi kesan pada Ummi. Ummi kadang-kalanya hanyut dalam perasaan berharap. Terbuai oleh perasaan yang Ummi sendiri tidak mengerti. Sedangkan Ummi tahu, selayaknya yang Ummi harapkan adalah pada Allah.

Ummi lagi sedang menanti waktunya untuk berbuka puasa. Itulah ibaratnya, perasaan yang mencengkam Ummi adalah sebuah ketakutan dengan hawa nafsu Ummi sendiri. Dengan kemudaan Ummi. Yang Ummi harapkan sentiasa, Allah pelihara Ummi sehingga tiba hari pernikahan. Juga kerisauan Ummi juga terhadap kamu anakku, generasi kamu. Generasi Ummi sahaja ujian imannya sudah sebegini dahsyat, yang Ummi sendiri khawatirkan akan iman ummi, entah bagaimana pula iman kamu anakku? Pohonlah pada Tuhan, Allah Al-Hafiz akan penjagaan dirimu dengan perasaan malu dan maruah dirimu. Peliharalah apa yang dalam fikiranmu, kawallah dengan menyeimbangkan fikirmu dengan zikirmu. Moga Allah pelihara kamu, Nusaibah. Ummi sayangkan kamu. Allah sudah pastinya sayangkan kamu, lalu apa perlunya kamu melakukan sesuatu hingga melemparkan dirimu pada kemurkaan Allah. Kawallah nafsumu, anakku.



"Pada abad ini, kurniaan yang paling besar adalah menyelamatkan iman"

Jagalah iman yang ada dalam dirimu anakku, Nusaibah. 
Kerna sekali kau rosakkannya, kau pasti merindui kemanisan dan kejernihan imanmu yang dahulu. 

Akhirul kalam, kesendirian ini benar-benar mengajar dan mendidik Ummi, yang hidup ini tak selalunya berteman. Ummi belajar mengenal peribadi Ummi di saat kesendirian. Apa sebenarnya akhlak Ummi dilihat baik kerana taqwa kepada Allah atau sekadar pertunjukan pada manusia lainnya?

Ummu Nusaibah
7.14pm
28/2/2019

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...