Aku masih ingat bicara kita tentang masa hadapan yang kita khawatirkan.
Dan hari ini sebahagian kita telah melaluinya.
Entah kenapa kerap aja terkenang-kenang. Lantas sengaja merakam memori lalu pada bait-bait tulisan di sini.
*Tulis sambil play instrumental lagu Sahabat Sejati (UNIC)*
Pernah kami sama-sama terlibat sebagai urusetia kursus kahwin sebagai memenuhi projek subjek keusahawanan. Alang-alang itu kami terus saja jadi peserta kursus kahwin kerana kebetulan belum ada sijil kursus lagi. Konsep kursus kahwin, setiap selesai satu slot akan ada sesi zikir munajat dan muhasabah. Kali itu, sesi muhasabah adalah tentang keluarga. Ingatilah pengorbanan Ibu dan Ayah masing-masing.
Dan aku, pantang orang sebut-sebut bab ibu dan ayah, bertambah usia sebegini pun aku masih rasa sensitif saat bicara tentang ibu dan ayah. Hari itu, macam biasa, seperti program motivasi zaman UPSR dahulu kala, ya, kitalah yang beriya menangis. Perasaannya macam nak berlari pulang & peluk ibu ayah. Serasanya banyak lagi kebaktian sebagai seorang anak yang belum selesai.
Dalam hangat-hangat air mata. Aku baru teringat Jamilah baru sahaja kehilangan ayahnya 2 bulan lepas. Aku toleh ke kanan. Aku perasan pandangan matanya tepat ke hadapan, pandangan tembus, tiada air mata. Aku tahu dia sedang menahan tangis dalam dada. Padahal dia lebih patut merasa sebak berbanding aku. Tanpa berkata apa-apa. Aku pegang tangan Jamilah,
‘Ayah Jamilah memang dah takda, family Jamilah jauh. Tapi Jamilah jangan lupa, orang family Jamilah kat sini’
Aku terus peluk Jamilah seeratnya. Pelukan itu seolah saling mengerti bahasa antara kami. Bukankah persahabatan itu juga sebuah ikatan hati?
**
Busana pink dengan batuan manik yang dijahitnya sendiri cantik terletak dikenakan di hari bahagianya. Jamilah beberapa kali panggil aku agar bergerak ke sisinya, duduk sebelah bantal yang dijadikan alas pengantin. Buat meneman debar di hati agaknya. Padahal, andai saja Jamilah tahu, debar di hati aku pun boleh tahan rancaknya! Macam aku pula pengantinnya.
“Aku terima nikahnya Jamilah binti Mohamed dengan mas kahwinnya…..”
“Sah”
“Sah”
Jamilah yang dari tadi memandang ke hadapan tenang. Dari semalam lagi tenang. Aku yang hairan, Jamilah bakal terima orang baru dalam hidup dia, yang dia sendiri tak begitu kenal siapa. Masakan boleh setenang itu pada sebuah penerimaan? Aku yang gusar terlebihnya.
“Syifa, bila masanya telah sampai. Kita yakin dan rasa tenang dengan orangnya. Kita serahkan pada Tuhan atas segalanya. Insyallah perasaannya tenang dan baik-baik saja”
Akad nikah selesai. Jamilah masih terpaku di situ. Pandangannya lolos ke hadapan. Buat suaminya barangkali. Sebakku bertali arus. Hampir 5 tahun bersahabat, aku menyaksikan segala perjalanan jauh dan menyakitkan Jamilah lalui untuk sampai pada detik ini. Jamilah berhak untuk merasa bahagia ujarku berkali-kali. Namun, kita lupa, kesakitan dan kekecewaan lalulah yang sebenarnya memaknakan erti kebahagiaan hari ini.
Aku genggam erat tangannya, seakan menyedarkan dirinya bahawa akad yang sah telah terlafaz.
“Jamilah. Jamilah dah jadi isteri kepada seseorang. Inikan waktunya yang Jamilah nantikan selama ini”
“Syifaaaaaaaa….”
Pelukannya erat sama seperti peristiwa hari kelmarin di kursus kahwin. Engkau tahu sahabat, perasaannya berat, seakan melepaskan sebuah persahabatan. Namun setelah yakin ada yang lebih baik menjagamu, meneman sedih dan gundah hatimu. Insyallah, baik-baik aja semuanya. Bukankah Allah telah menyusun takdir yang indah buatmu?
Selamat berbahagia Puan Jamilah!
Maksudnya :"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)" Az-Zukhruf :67
Sudah menjadi adat berkawan, kadang-kadang hubungan kekal berpanjangan, tetapi ada yang berakhir dengan permusuhan. Islam mengajar kita supaya meletakkan taqwa sebagai asas persahabatan. Jika ini menjadi pegangan, insya-Allah, hubungan mereka akan terus berkekalan. Mereka tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat perlindungan Allah di hari akhirat kelak, dan Allah memberi jaminan mereka tidak merasai sebarang kebimbangan dan tidak akan berdukacita apabila tiba saat kembali menemui Tuhan.
Moga-moga persahabatan ini ke syurga :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan