Masih jauhkah permusafiran ini? |
Usia 25 tahun. Untuk hari ini tiada buat apa pun. Cuma peruntukkan satu hari untuk intropreksi diri (penilaian diri). Bertenang dengan perasaan. Bertenang atas apa yang diharap-harap selama ini yang berbeza dengan takdir diri. Beriman dan berdamai dengan takdir lain yang Allah tentukan buat diri. Berfikir sehabis mungkin untuk projeksi diri beberapa tahun mendatang (seakan yakin masih punya kesempatan untuk beberapa tahun lagi). Sedangkan saat berikutnya pun aku belum pasti masih dikurniakan nyawa atau tidak.
Usia 25 tahun. Usia semuda ini, akal yang masih cerdas, tubuh badan yang sihat dan keinginan yang kuat. Yang ada ketikanya, aku tercari-cari, mana yang lebih patut aku halakan diri. Pada menambah seoptimum mungkin ilmu di dada, beramal sebanyak-banyaknya atau memanfaatkan diri sementara tenaga masih kuat dan tubuh badan yang sihat. Pada fikiran aku, jika aku tidak memaksakan diri di usia muda ini, aku bimbang apa boleh aku memaksakan diri pula di usia tua nanti? Andai muda pun bermalas-malasan selalu seperti ini.
RISAU
Banyak masa, fikiran aku terlontar ke memori lalu. Pada kerisauan lalu. Usai ceramah Ustazah Nik Norseha, seingat aku usia 15-16 tahun. Aku menangis mengadu tentang solatku pada ustazah. Betapa, aku solat selama ini, namun aku tidak merasai kemanisan iman. Barangkali, impak itu kerana tajuk dalam silibus Pendidikan Agama Islam (PAI) yang menekankan bagaimana ciri-ciri yang dikatakan kemanisan iman.
“Ustazah, saya solat. Tapi saya tak rasa seronok pun dengan solat. Saya tak rasa manisnya solat. Saya tak rasa pun kemanisan iman”
Jawab ustazah, “Awak masih kecil. Mungkin belum faham dan merasai lagi apa yang dikatakan kemanisan iman. Insyallah apabila awak semakin dewasa. Awak akan merasai kemanisan iman”
Dan apabila aku timbang-timbang diri sendiri, yang aku kira sekarang berada di tahap dewasa. Adakah aku telah merasai kemanisan iman ketika beribadah kepada-Nya? Masihkah aku pada kerisauan aku yang dahulu? Risau dengan hal-hal perbaiki roh daripada sibuk risaukan hal-hal dunia tiada hentinya?
Adakah pertambahan usia ini, telah menjadikan aku manusia yang lebih baik di sisi Allah, lebih berbakti sesama manusia?
APA YANG KAU KEJARKAN?
Kemudian, fikiran aku terlontar lagi. Pada saat aku pulun baca Al-Quran, pulun habiskan bacaan Al-Kahfi di pagi Jumaat dek kerana jadual bekerja kilang yang terlalu padat. Teman sebilikku menegur,
“Syifa, laju sangat baca Al-Quran tu. Ada huruf yang tidak pada haknya”
Lalu membuatkanku tersedar, apa yang aku kejarkan selama ini? Jika aku tak sempat habiskan Al-Kahfi di pagi hari, aku masih punya rehat tenghari jumaat yang panjang, aku masih ada sedikit waktu lagi di waktu petang sementara maghrib. Lalu, apa yang aku kejarkan?
Adakah dengan bacaan Al-Quran secincai ini, yang sekadar menghabiskan surah Al-Kahfi, lalu Allah redha dengan bacaan Al-Kahfiku? Apa yang aku kejarkan? Bukankah redha Tuhan? Apalah ertinya menghabiskan bacaan satu surah Al-Kahfi , jika yang sebenarnya amal itu tidak menjadikan Allah redha denganku?
AMAL
Maafkan aku, fikiran aku terlontar lagi. Tajuk tuisyen Tingkatan 3 hari itu yang perlu aku ajarkan pada mereka berkenaan kematian bintang. Aku bertanya,
“Setiap bintang di galaksi akan mengalami kematian bintang. Adakah matahari itu adalah bintang?”
“Iya”
“Jadi, ada kemungkinankah bahawa suatu hari nanti, matahari yang jadi sumber cahaya dan penghidupan di Bumi juga akan mati?”
“Iya”
“Lalu, jika matahari mati. Apa yang berlaku pada kita ketika itu?”
“Kiamat!”
Dan kemudian, jawapan itu mendiamkan aku kerana merasa amal belum cukup banyak buat bekal jika kiamat berlaku. Jika mati di usia muda, apa cukup amal untuk dipersembahkan? Kerana selama ini, dengan kemudaanku, aku merasakan punya waktu yang banyak, lalu aku berlengah-lengah dan membuang masa. Padahal, bukankah telah ramai yang mati sebelum tua?
MUJAHADAH
"Hujung akal itu fikir, pangkal agama itu zikir" - Hamka |
Usia 25 tahun, membuatkanku ada ketikanya lebih selesa bersendiri. Mujahadahnya jauh lebih terasa, namun pergantungan pada Tuhan yang selalu aku harapkan agar aku menang dalam medan yang aku tempurkan. Yang sebelum ini, merasa bersendiri itulah yang paling aku takutkan. Jujurnya,ketika ini aku jadi agak kedekut dengan masaku pada orang lain, kerana usia 25 tahun, aku merasa patut telah mencapai sesuatu. Tetapi sebaliknya tidak. Lalu berfikir-fikir, apa yang telah kulakukan dengan masa-masaku sebelum ini. Terbazir begitu sahaja. Sibuk benar memperbaiki hal-hal besar, memperbaiki masyarakat, sedangkan untuk diri sendiri sudah lama terhenti usaha ‘islah nafsi’. Engkau sibukkan orang lain, mengapa sampai melupakan dirimu? Apa kau telah cukup baik sempurna serba-serbinya?
Ada masanya, aku merenung-renung diri lalu memikirkan. Bagaimana mujahadah orang dahulu kala? Mujahadah di zaman para sahabat, pasti terasa indah kerana penguatnya Rasulullah. Mungkin tak perlu jauh, seabad lamanya? Setelah merasakan, betapa banyak fokus dan masa diri sendiri terganggu dengan media yang merosakkan. Adakah mujahadah aku atau mereka yang lebih dahsyat? Perasan sendiri, merasakan diri sendiri sudah teruk bermati-matian bermujahadah untuk dekat pada Tuhan.
“Allah bukan saja-saja letakkan Saidina Abu Bakar di sisi Rasulullah ketika zaman awal membawa Islam. Melainkan bersesuaian dengan kekuatan iman Saidina Abu Bakar. Hatta para sahabat-sahabat yang lain pun telah Allah tentukan hidup di zaman itu bersesuaian dengan kekuatan iman masing-masing. Dan setiap dari kita Allah telah tentukan, bahawa di zaman inilah zaman yang terbaik berdasarkan kekuatan iman masing-masing. Allah tak hidupkan kita di zaman itu, kerana Allah tahu kekuatan roh kita tak sehebat macam sahabat-sahabat Nabi”, begitu pesan guru dalam majlis ilmu kami hari itu.
Yang setelahnya, beliau menambah,
“ Apa hujah yang kita nak bagitahu Allah jika di akhirat nanti kita nak digolongkan bersama Nabi dan sahabat-sahabatnya? Apa hujah kita nak melayakkan kita bertemu Nabi? Siapa kita? Kita bukan dalam golongan yag diuji, para ilmuan, imam-imam. Sedangkan kita siang dan malam minta dihiburkan, sibuk mengikut telunjuk hawa nafsu?”
Dan, ketika itu. Tangisan guru kedengaran. Aku selawat pun belum untuk hari itu. Lalu, atas apa aku merasa sudah layak untuk bertemu Nabi?
SEBUAH PENERIMAAN
Dan aku memilih untuk menulis sebagai pesan-pesan buat diri sendiri. Yang aku bimbang-bimbangkan sentiasa adalah tentang bagaimana penerimaan manusia lain terhadap diriku. Sedang aku tahu, dosa dan maksiat aku, Allah simpan sekemas-kemasnya,yang kemudian manusia memandang aku sebagai manusia mulia. Menerima aku.
Padahal aku tak pernah memikirkan atas dosaku dan maksiatku yang lalu, yang aku rasa telah habis bermujahadah, dan ada ketika aku gagal. Kemudian, tertimpa atas dosa-dosaku dan kelamnya masa lalu, Allah tetap juga menerima aku. Walau aku tahu, entah buat kali ke berapa aku telah menzalimi diriku sendiri dengan dosa-dosaku.
Surah Al-Anbiya : 87 |
“(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya” (Al-Mulk :2)
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari kejahatan diriku sendiri, dan dari kejahatan segala yang melata yang ubun-ubunnya berada dalam genggaman-Mu, sesungguhnya Tuhanku selalu berada di atas jalan yang lurus”
Taqaballahu minna wa minkum. Moga tulisan ini bermanfaat, tak hanya buat diri sendiri.
Moga-moga tahun berikutnya lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan