Nasyid Instrumental

10 Februari 2017

Ajari Aku MencintaiMu

Bismillahirrahmanirrahim


Ajari Aku MencintaiMu (Opick) 

Ajari aku mencintaiMu dalam lelah
Ajari aku mencintaiMu dalam duka
Karena jiwa kadang rapuh bosan tak setia
Ajari aku mencintaiMu

Dalam hitam gelap langkah diri yang meraba
Dalam hitam gelap hidup rindukan cahaya
Hadirlah Kau dalam sunyi sentuh dengan cinta
Terangi kalbu sendu yang rindu kepadaMu

Waktu kan berlalu
Waktu tak kembali
Berharap berarti
Sebelum ku mati

Ajarilah aku untuk mencintai
Setulusnya hati sepenuh jiwa ini

Mesti takkan pernah mungkin
Untuk hati kan sempurna
MencintaiMu sepenuh jiwa

Ajarilah aku untuk mencintai
Setulusnya hati sepenuh jiwa ini




Taqaballahuminna wa minkum~


Ceconteng
Trying to slowly detach myself from 3 things: TV, Instagram, Facebook (I put limit time a day for fb). People will never know your struggle towards Him. 

Akhir zaman ini, nak menundukkan pandangan itu bukan suatu usaha yang mudah ya T_T

08 Februari 2017

Cerpen : Mujahidah Musfirah [PART 2]

Bismillahirrahmanirrahim,

Sambungan cerpen. Lama juga simpan di draf. Part 2. Ini cerpen tahun 2013-2014 tak salah. Dulu segan-segan nak publish, mungkin kerana tak mahu orang kenal the other side of me (yang agak jiwang dan melayan perasaan ada kalanya). On the surface, I'm not that kind of lovey-dovey, serius dan tak ada perasaan kata mereka. But, that make a character of someone isn't it? 

Perkara yang baik apabila membaca tulisan sendiri beberapa tahun lalu, nasihat yang diselit-selit sepanjang cerpen itu sangat berguna untuk diri sendiri di masa ini. Perkara-perkara yang kita jaga dahulu kala, masihkah lagi kita menjaganya?

Kalau cerpen terkini aku, mungkin lagi beberapa tahun baru post rasanya. Sengaja. 

PART 2
(Aku tak pasti ada Part 3 ke tak, nanti aku check balik dekstop)



"Farhan!", Farhan menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Rodhiah sedang cuba membangunkan seseorang di tempat duduk pemandu.

"Farhan, Musfirah pengsan. Ana tiada lesen. Boleh tolong hantar kami ke hospital?", suara Rodhiah sedikit cemas. Rodhiah meminta bantuan seorang pelajar perempuan yang berada di sekitar itu untuk mengangkat Musfirah ke tempat duduk penumpang di belakang. Wajah Musfirah kelihatan pucat.

***

Jam tangan Casio dikerling seketika. Pukul 5 tepat. Hampir 10 minit dia menanti sendirian di situ. Kelibat sahabatnya belum lagi kelihatan. Buku catatan berkulit keras berwarna belang ungu dan hijau dikeluarkan daripada beg sandangnya. Halaman buku itu diselak satu persatu membaca nota-nota tazkirah yang ada didalamnya. Buku inilah yang sering dibawanya jika ingin ke majlis ilmu, ceramah, usrah dan sebagainya. Menurut dia, ilmu agama itu seperti binatang ternakan, perlu ditambat atau mungkin ia akan lari. Lebih-lebih lagi buat dirinya yang tidak mengambil jurusan agama, yang sedikit itulah yang dijaga dan dijadikan prinsip hidupnya.

Sekeping gambar bersaiz 4R standard tersisip disebuah halaman di bukunya. Sepotong kata-kata Imam Hassan Al-Basri di belakang gambar itu seakan mengembalikan segala kenangan manis saat ditarbiyah. Wajah gadis berkaca mata dengan tutur kata yang lembut dan tenang hadir di ruang matanya.

"Entahlah kak, ana rasa ana tak bersedia nak galas tanggungjawab itu. Ana tak sesuai dan ana langsung tak layak. Ana tak banyak ilmu agama, ana tak berani bercakap depan orang ramai dan ana sendiri bimbang anak usrah yang bagaimana akan lahir dari usrah ana nanti. Kak Dena, ana yakin Kak Dena sebenarnya boleh dapat insan yang jauh lebih baik dari ana", panjang lebar dia meluahkan bicara.

"Mungkin Musfirah boleh beri diri Musfirah peluang?", Kak Dena tersenyum manis penuh harapan pada Musfirah

"Peluang? Kak Dena rasa ana memang boleh galas tanggungjawab ini? Kak Dena, ana tak mahu perjuangan dakwah ini jadi tergendala sebab ana. Ana dengan selut-selut jahiliah dan maksiat dalam diri ana ini pun ana masih susah nak buang."

"Kalau macam itu, Musfirah tinggalkanlah selut-selut jahiliah dan maksiat itu. Perlahan-lahan boleh? Bukanlah dengan cara meninggalkan perjuangan dakwah, maka perjuangan dakwah itu akan cepat sampai ke matlamatnya. Kalau semua orang berfikiran seperti Musfirah, siapa nak sampaikan dakwah?", wajah tenang Kak Dena ditatapnya, seakan mengakui kata-kata yang dituturkan Kak Dena.

Kata-kata Imam Hassan Al-Basri dibelakang gambar itu dibacanya berulangkali,

"Sesungguhnya ketika aku menasihati kamu bukanlah bererti aku yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sedikit orang yang beri peringatan"

'Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menegakkan kalimah-Mu Lailahaillallah' dalam diriku dan dalam diri manusia disekelilingku', doa Musfirah di dalam hati. Matanya dipejam. Terasa kekuatan itu datang disaat-saat lemah begini.

"Assalamualaikum Cik Musfirah! Beranganlah tu? Memang tiada kerja lain kan", sapa Hasyimah tiba-tiba.

"Astaghfirullahal'azim. Cuba beri salam tu lembut-lembut sikit. Anak dara seorang ini berapa kali dah ibu pesan, tak berubah-ubah", Musfirah mengajuk nasihat yang lazim diberi ibu Hasyimah kepadanya.

Hasyimah buat muka. Amboi pandai pula sahabatnya yang seorang ini mengajuk. Hasyimah terperasan sekeping gambar di tangan Musfirah. Dia curi-curi pandang.

"Gambar siapa? Si dia lah tu?", teka Hasyimah walaupun sebenarnya dia sudah pernah lihat gambar itu sebelum ini.

"Kalau benar sekalipun, awak bukan tahu pun siapa", Musfirah tersenyum nakal. Sengaja dia mahu mengusik sahabatnya.

Senyuman Hasyimah meleret. Ada tekaan yang ingin sekali dipastikan kesahihannya.

"Eh, Rodhiah dah sampai.Jom kita gerak!", mereka berdua berjalan menuju ke Masjid An-Najah yang cuma 200 meter dari kolej kediaman mereka. Setiap petang Jumaat akan diadakan Talaqqi Kitab Sirah Nabawiyah di masjid itu yang dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa Sekretatriat Da'ie Kampus (SDK) sendiri.


***



Dua tahun berlalu. Masing-masing berada di tahun akhir pengajian. Cuma berbaki satu semester sahaja lagi. Cincin di jari manisnya ditenung lama. Banyak kali dia cuba meyakinkan dirinya bahawa ada hikmah disebaliknya semuanya. Namun air mata jernih mengalir juga di pipinya.

"Jawapan dari-Mu tak pernah silap. Aku redha atas ketentuan ini. Ya Allah berilah aku kecintaan dan kekuatan untuk terus berada di jalanan ini"

"Eh, Musfirah. Kenapa ini?", tanya Rodhiah rakan sekelasnya.

"Hmm, tiada apa-apa. Teringat kat ibu ayah di kampung", dalih Musfirah. Air mata dilap cepat-cepat dengan hujung tudung.

"Enti tak payah berhelah. Ada skema jawapan pada air mata enti", Rodhiah cuba menceriakan sahabatnya.

Badan Rodhiah terus dipeluk erat-erat. Lama. Tangisannya ditahan. Kedua-duanya bisu dari berbicara. Namun masing-masing seakan berkomunikasi melalui hati. Musfirah tak pernah berbicara dengan Rodhiah, malah sesiapapun mengenai hati dan perasaannya. Dia memendam sendirian rasa kecewa hatinya.

Pelukan mereka terlerai. Tangan Musfirah digenggam erat. Mata Rodhiah tertumpu pada cincin di jari manis Musfirah.

"Dulu, waktu ana pegang naib presiden, ana selalu berurusan dengan dia. Kami kerap juga bersilisih pendapat. Alhamdulillah, suatu ketika kami dapat selesaikan persilisihan itu dan sejak itu kami dapat berurusan dengan baik. Tapi disebabkan oleh perasaan ana terhadap dia, ana buat keputusan untuk letak jawatan. Ana lakukan kerja dakwah, tapi dalam masa yang sama ana gembira apabila terima mesej dari dia. Ana menanti meeting supaya ana dapat berjumpa dengan dia. Ana takut Rod. Ana buat kerja dakwah, tapi niat ana campur-aduk dengan maksiat. Ana tahu syaitan takkan berdiam diri. Syaitan akan perhiaskan kerja dakwah ana sampai ana tak terasa sebenarnya ana bermaksiat dengan Allah. Lagipun, ana tak mahu orang sehebat dia jatuh kerana fitnah perempuan. Ana tak mahu diri ana ini penyebab kelalaian dia", pipi Musfirah merah menahan kesedihan yang lama dipendamnya.

"Ana faham Mus. Melalui cara enti berkomunikasi dengan dia pun, kami tahu Musfirah. Ana faham kenapa enti buat keputusan untuk letak jawatan dulu", Rodhiah menenangkan gelojak hati sahabatnya.

Musfirah menarik nafasnya dalam-dalam. Seakan ada sesuatu yang menghalangnya untuk terus berbicara. Mukanya terzahir luka dan kecewa.

"Ana fikir dia faham kenapa ana buat keputusan itu. Rupanya ana silap, Rod. Selama ini dia beranggapan ana letak jawatan kerana ana mahu mengelak dari dia. Rodhiah, ana redha jodoh ana bukan dengan dengan dia", pandangannya dihalakan ke permaidani merah bilik mesyurat di Masjid An-Najah.

"Yakinlah bahawa ada hikmah atas semua ini. Allah Maha Mengetahui apa yang paling baik buat hamba-Nya. Alhamdulillah enti buat keputusan ketika masih di peringkat awal sebegitu, kalau tidak pasti enti lebih kecewa ", nasihat Rodhiah.

"Nah, tadi Kak Dena bagi kad walimah dia dengan. Hmm, tak mengapalah, enti tengok sendiri", sengaja Musfirah tak mahu menyebut nama bakal pasangan Kak Dena yang tertera pada kad  itu. Kad itu dihulurkan pada sahabatnya.

Tertera di bahagian hadapan muka kad itu,
' WALIMATULURUS DENA HUMAIRA BINTI ZAMANI & MOHD HADI AL-HAFIZ BIN MOHD FUAD'

Mata bulat Musfirah ditatapnya. Nama sahabatnya itu disebutnya lembut. Musfirah menoleh kearah sahabatnya.

"Allah tak beri apa yang kita mahu. Bukan sebab kita tidak berhak untuk perkara itu. Boleh jadi kita berhak sesuatu yang lebih baik dari itu. Bukankah sebegitu sahabatku?", kata-kata Rodhiah menusuk ke hatinya.


bersambung.......

07 Februari 2017

Cerpen : Mujahidah Musfirah [PART 1]

Bismillahirrahmanirrahim.
Godek-godek cerpen lama, lalu terjumpalah cerpen ni. Seingat aku, cerpen ini ditulis ketika masih Sem 3 pengajian, Tahun 2. Zaman tiada whatsapp, facebook pun kena log in di dekstop. Cerpen yang aku tak berapa gigih nak habiskan penulisan. Hehe. Selalu masalah begitulah, satu, susah nak cari tajuk cerpen yang sesuai. Kedua, nak habiskan penulisan. Idea dah ada. Nak cari mood tu yang sukar.

Terimalah cerpen yang tak seberapa ni. Harap tiada yang perasan ya (sebab nama watak) . Biasa penulis memang kuat berangan, memikirkan eh apa ya kesudahannya, walaupun sebenarnya kisah sendiri atau sahabat di sekeliling aku. Selalu cakap, kan best kalau kesudahannya begini, kesudahannya begitu. Cuma itulah cerita hidup ini, tak seindah yang ditulis oleh manusia. Tetapi disitulah keyakinannya, pada cerita yang ditulis oleh ALLAH. Barangkali jauh lebih indah dan bahagia, tapi Allah nak kita rasa pahitnya dahulu, agar kita lebih menghargai kebahagiaan. Setiap kisah cinta itu ada perjuangannya :)  *sekian membebel*

p/s - aku selitkan sekali nota haraki


Cerpen : Mujahidah Musfirah 



Pulang dari meeting, hati Musfirah kacau-bilau. Geram bercampur sakit hati dan marah dengan tindakan seseorang. Tak sepatutnya dia bertindak sebegitu pada orang bawahannya.

"Dia suruh kita proaktif, alih-alih kalau kita bagi cadangan sikit pun dia tak terima. Nampak sangat perlekehkan idea orang lain", luah Musfirah. Ada getaran pada suaranya.

"Hmm, kalau memang dia sudah ada jawapan dalam kepala, tak perlu provok orang lain untuk bagi idea. Apa dia nak idea kita mesti 100% sama dengan apa dalam kepala dia?", tambah Rodhiah pula.

Musfirah memutar stereng ke kiri, kereta pacuan empat roda Proton Saga menghala ke kiri setelah lampu isyarat bertukar hijau.

"Lain kali kalau mana-mana sahabat bagi idea tu, dia patut tanya pendapat sahabat-sahabat yang ada kat situ sekali. Bukan buat keputusan ikut sesuka hati. Lagi satu, dia patut hormat keputusan yang ana buat. Dia tak patut persoalkan di khalayak tentang kenapa ana memilih untuk meletak jawatan tadi. Ana rasa seolah-olah ana ini dimalukan".

Rodhiah sekadar mengiakan, dia pun tidak berpuas hati dengan cara Farhan mengendalikan meeting itu tetapi dia tidak mahu menambah minyak pada api yang sedang marak. Farhan bukanlah orang yang diamanahkan tetapi dia berlagak seperti dialah orangnya. Sahabat karibnya, Hadi, kata mereka macam orang suruhan Farhan. Luaran Hadi memegang jawatan. Hakikatnya, dia dikawal oleh perancangan dan idea Farhan. Lihat saja pada meeting itu.

Alasan yang dikemukan oleh Musfirah sewaktu ditanya Farhan terngiang-ngiang di telinganya. Dia sedikit serba-salah dengan Hadi. Dia hanya sekadar mereka-reka alasan itu setelah diprovok dan disindir oleh Farhan.

"Ana tak fahamlah kenapa enti nak tukar orang. Atas sebab apa enti nak tukar?"

"Ana tak boleh", pendek jawapannya.

"Enti sibuk sebab apa je?", ayat itu seolah-olah petir menyambar. Seisi yang hadir di bilik meeting turut terkejut dengan soalan yang diajukan oleh Farhan.Sesungguhnya si Farhan ini sengaja nak mengenakan Musfirah.

"Ana sukar berurusan dengan muslimin......", terpacul bait-bait yang tak sepatutnya dilontarkan.

Kedua-duanya terdiam, baik Farhan mahupun Musfirah.


'Ana tahu ana tak pegang apa-apa jawatan dalam kampus seperti enta. Tak perlu nak zahirkan yang ana sebenarnya terlalu lapang dan perlu diberi kerja. Jangan lantik ana hanya kerana ana tidak memegang jawatan. Berilah pada yang layak dan terbaik. Ana tak perlu kelihatan atas sebab jawatan semata', desis hati Musfirah.

Kalau ikutkan perasaan marah dan emosi yang kurang stabil, mahu saja dia berbalah dengan lelaki itu. Tapi dia tahu, dia takkan beroleh apa-apa faedah, malah akan mencalarkan imej muslimahnya sahaja.


***

Patut ataupun tidak. Dia sedikit ragu-ragu. Kalau dengan menghantar satu kiriman SMS (Short Messaging System) dapat menjernih kembali hubungan kerja kedua-belah pihak, maka dia patut. Sejujurnya, dia pun tidak pasti dengan tindakan ini. Dia cuma rasa kalau dia tak salah, maka menjunamkan harga dirinya sahaja meminta maaf pada lelaki.

"Rod, patut ke ana jelaskan pada dia? Enti rasa ada kemungkinan tak dia terasa dengan statement ana?", tanya Musfirah.

"Mungkin. Alasan enti macam ditujukan pada dia. Sebab enti kan selalu berurusan dengan dia"

"Ana patut tengok riak wajah dia apabila ana cakap macam itu. Jadi, ana tak perlu meneka sama ada dia terasa ataupun tidak", ulas Musfirah pendek.

Dia menaip-naip SMS di telefon bimbitnya.

"Salam Hadi, ana harap enta tak salah faham fasal ana nak tukar jawatan dengan orang lain. Tiada kaitan dengan enta pun. Cuma ana rasa ada orang yang lebih layak & lebih baik untuk melaksanakan tugas itu berbanding ana. Fasal alasan kenapa ana nak tukar, ana reka-reka saja sebab mereka provok ana tanya sebab ana minta tukar. Sebenarnya ana okay je bekerja dengan enta. Apa-apa pun, selamat menjalankan tugas dengan orang baru. Ana minta maaf salah silap ana sepanjang kita bekerja. Wallahua'lam."

Mesej panjang lebar usai ditaip, dihulurkan pada Rodhiah untuk dibaca.

"Okay tak Rod? Tak emosional sangat kan?"

"Okay je", balas Rodhiah pendek.

Butang 'send' pada skrin disentuh.

Sending to Hadi Ketua SDK.


***

Mimpi semalam agak aneh. Entah prosedur apa entah yang cuba diilhamkan oleh mimpi Musfirah.

Kata mimpi. Perlunya pada orang tengah.

Apakala terjaga dari mimpi itu, badan terasa panas. Matanya perit. Mimpi itu satu petunjuk yang agak rumit. Musfirah sekadar mengabaikan saja, halnya kerana itu  mimpi tidur petang impak meeting yang agak stress dan mengecewakan. Barangkali dia terlalu memikirkannya sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi.

Hari-hari berikutnya dilalui sedikit menekan perasaan.

"Musfirah, enti kenapa macam tak gembira?", aju Rodhiah.

Soalan yang dituju padanya membuatkan dia terperasan bahawa dia merasa terganggu sedikit dengan apa yang berlaku.

"Emm, penat kot", Musfirah masih buat-buat menulis di meja belajar.

"Takkanlah, orang lain pun habis kelas lewat malam juga. Enti pulak dah macam Majnun yang membawa diri ke hujung dunia biarpun Laila di depan mata"

Musfirah menoleh pada sahabatnya. Sesedap madah berbicara menyamakan dirinya dengan Si Majnun, si gila cinta. Malah, mengaku pula dirinya jadi si pujaan hati bernama Laila.

"Masalah ana tiada kaitan sedikit pun dengan Majnun. Ana bukan putus cinta okay", Musfirah buat muka tak puas hati.

"Kalau tak putus cinta, tell me", pujuk Rodhiah dengan kening yang dinaikkan sedikit.

"Tell you what? I've nothing to tell", mata Musfirah dilarikan ke tingkap.

"Masalah itu ditakdirkan untuk kita kadang-kadang bukan untuk diselesaikan, tapi untuk hidup bersamanya"

"Jadi, enti fikir masalah ana ini memang ditakdirkan bukan untuk diselesaikan?"

"Up to you darling", lembut Rodhiah menjawab.

"Nanti-nantilah. Ana nak cerita pun tiada mood. Belum cerita, tapi fikiran dah terasa penat sangat"


***

Buku-buku atas meja disusun kemas di penjuru meja mengikut urutan saiznya. Susunan buku itu ditenungnya. Lima minit lamanya. Buku 'Wabak Sepanjang Jalan' karya Dr. Al Syed Muhammad Noh menarik perhatiannya.

Wabak Pertama, Al Futur.

Menurut penulis, al-futur merupakan suatu penyakit yang mungkin menimpa para "amilin", bahkan ada amilin yang sudah pun ditimpa penyakit ini. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.

Dinyatakan dalam buku tersebut, antara salah satu sebab al-futur ialah terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya sebagai remeh.

Kesan al-futur bakal menyebabkan dakwah Islam itu terpaksa melalui jalan yang panjang,beban yang berat dan pengorbanan yang banyak. Terbayang betapa jauhnya dahulu si pedagang terpaksa melalui jalan Laut Afrika Selatan sebelum Terusan Suez di Mesir dibuka untuk laluan pedagang.

Pesanan Nabi SAW,
"Sesungguhnya terdapat seorang hamba yang melakukan amalan ahli neraka padahal ianya adalah ahli syurga. Dan terdapat seorang yang melakukan amalan ahli syurga padahal ianya adalah ahli neraka. Sesungguhnya segala amalan itu dinilai pada penghujungnya."

Buku yang pada asalnya sekadar diselak-selak seakan menusuk dalam hatinya. Dia berdoa di dalam hati, moga dijauhkan daripada penyakit al-Futur. Matanya dipejam. Mungkin ini hikmahnya.

" Enta tak payah fikir sangatlah fasal itu. Banyak lagi perkara yang perlu enta risaukan. Janganlah enta sibukkan diri enta dengan perkara yang remeh-temeh macam ni", Farhan menepuk bahu Hadi berulangkali.

"Ana tahu ini yang terbaik buat ana. Musfirah pasti bersebab buat begitu. Dan ana rasa, enta tak patut perli dia depan sahabat-sahabat lain".

"Hadi, cuba enta fikir balik. Dia tiada sebab yang kukuh pun buat keputusan begitu. Rasa macam nak tarik diri, tarik diri. Semudah itu. Itu bukan kali pertama dia buat begitu, enta tak ingat? Usahlah enta termakan dengan dolak-dalih dia tu. Ana kenal sangat jenis manusia sebegitu. Enta tak rasa tak adilkah, di saat sahabat-sahabat lain dipertanggungjawabkan dengan jawatan dan tugas dakwah yang banyak. Dia pula fikir cara yang bagaimana untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan", tutur Farhan sedikit emosi.

"Ana tak nak bersikap penghukum. Dan ana rasa mungkin itu yang terbaik buat masa ini.", Hadi menghulurkan buku di tangannya kepada Farhan.

"Apa ni?"

"Untuk entalah. Bacalah yang ana dah lipat tu. Wabak keenam"

"Tengoklah kalau ana ada masa", jawab Farhan acuh tak acuh. Lantas dia berlalu pergi dengan buku ditangannya.


***

Setelah membuat pesanan di Kafe Bonda yang terletak tidak jauh dari kolej kediamannya, Farhan melabuhkan punggung di kerusi. Tidak lama kemudian, matanya tertangkap pada kelibat seseorang yang sedang bersusah-payah mengeluarkan kotak dari but kenderaan jenis Proton Saga berwarna merah. Dia bergegas ingin membantu.

"Cik, mari saya tolong..."

"Eh, tak mengapa..."

"Nampak macam berat, kalau.......", perkataan yang bakal keluar dari mulut Farhan seakan terkunci saat gadis bertudung labuh berwarna coklat itu menoleh kepala ke arahnya.

Sepi seribu bahasa. Suasana tegang meeting tempoh hari kembali menerjah. Masing-masing cuba meneutralkan rasa sendiri.

"Enta tak perlu susah-susah. Ana biasa angkat sendiri", suara Rodhiah memecah kesunyian. Dia sebenarnya segan berbual berdua sebegitu, mujur ramai orang di kafe.

"Enta sudah terbiasa berada di atas, enta bukan peduli masalah orang di bawah", luah Rodhiah tiba-tiba.

"Apa maksud enti?", Farhan mengerutkan dahi, cuba mencerna maksud kata-kata Rodhiah. Dia tetap juga ingin membantu walaupun huluran bantuan darinya seakan tidak diraikan Rodhiah. Kotak itu diangkat keluar dan diletak atas trolley barang yang tersedia di situ.

"Tiada apa-apa", tutur Rodhiah.

Usai mengangkat keluar kotak-kotak itu, Farhan menuju ke kafe semula ingin menyambung hajat perutnya minta diisi. Kakinya dilangkah dengan slow motion. Kata-kata Rodhiah seakan pita perakam yang ditekan butang play berulang-ulang kali.

 "Farhannn!!!!!"



bersambung....


Ceconteng
Aku mengimpikan aku lebih banyak perjalanan musafir, supaya bertambah baik penulisanku dalam menggambarkan latar sesuatu tempat dan suasana. 

(doakan aku thabat dalam penulisan T_T, tetapi yang paling utama nak thabatkan hati pada ketaatan dan perjuangan)


02 Februari 2017

Bedah Buku : Persembahan Cinta Isteri Hasan Al-Banna

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, baru usai menghabiskan sebuah buku lagi (semalam sebenarnya). Gelakkan diri sendiri, kerana untuk buku senipis ini ; 99 muka surat, saiz muka surat seperempat A4 pun sampai ambil masa dua minggu untuk khatam kulit ke kulit.

*Serasa banyak masa habis ke gadget ;(



Hasil dari pembacaan buku 'Persembahan Cinta Isteri Hasan Al-Banna' yang aku boleh simpulkan, kesimpulannya sama seperti mana dalam buku 'Peranan Muslimat di Medan Amal Jama'ie', tiada yang bercanggah iaitu,

keutamaan seorang perempuan itu adalah sebagai ratu rumah tangga ^_^

Jika buku Peranan Muslimat di Medan Amal Jama'ie menerangkan secara teori dan falsafahnya seorang perempuan dan di mana keutamaannya, buku ini adalah praktikalnya yang didatangkan melalui role model seorang isteri kepada seorang pejuang. Namanya, Lathifah Ash-Shuli.

Buku ini mengangkat nama Lathifah Ash-Shuli, kerana pernah namanya dipersoalkan, dimanakah peranan Lathifah Ash-Shuli dalam gerakan dakwah yang dibawa oleh suaminya?

Dan sangkaan aku sebelumnya juga begitu - bahawa yang sebenar-benar terlibat dalam gerakan dakwah adalah apabila nama kita sebaris dengan nama muslimin gerakan, apabila kita turun sama ke lapangan siasah dan dakwah. Kita tidak merasakan apa-apa saja tugas di rumah itu adalah juga lapangan dakwah dan siasah buat para muslimah, cuma medan nya yang agak berbeza.

Selari dengan catatan pengantar penulis yang aku rasakan kena bahawa,

" Kesibukan dakwah Imam Hasan Al-Banna yang demikian berat, tidak mungkin dapat berjalan dengan baik jika isterinya pun turut keluar untuk terjun dalam kesibukan yang serupa. Intinya adalah pembahagian peranan yang seimbang antara suami dan isteri, serta bagaimana si isteri tetap mengutamakan tanggungjawabnya sebagai ratu rumah tangga berbanding yang lain"
(Muhammad Lili Nur Aulia)


Sebelum ni tipulah tak pernah komplen,
"Adik beradik lelaki, kalau nak keluar main bola, main keluar gittue ja, takdalah ada orang nak tanya, apa kerja rumah yang dah selesai sebelum keluar"

Sebab kebiasaannya, umi akan tanya dulu pada aku/adik perempuan,
"Nak keluar pergi program ni, kerja apa yang dah settle?", maka kalutlah aku siapkan list thing-being-done sebelum keluar rumah. At least selesai satu atau dua jenis kerja, barulah ada green light keluar rumah.

Maka, setelah ini, pesan baik-baik pada diri sendiri, Sebelum keluar ke lapangan dakwah, selesaikan dulu kerja-kerja di rumah. Kitalah ratu rumah tangga, walau seberapa tangkas pun kita di luar rumah.(sentap kan T_T)


Taqaballahuminna waminkum.


**

Ceconteng

Eh, kenapa pendek sangat bedah buku?
Kalau saya tulis panjang-panjang, baik awak baca ja buku tu =_="
Btw, saja tulis review pendek bagi evoke keinginan membaca buku ini, moga ianya membantu :)

Road to Turki, eh? 

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...