Godek-godek cerpen lama, lalu terjumpalah cerpen ni. Seingat aku, cerpen ini ditulis ketika masih Sem 3 pengajian, Tahun 2. Zaman tiada whatsapp, facebook pun kena log in di dekstop. Cerpen yang aku tak berapa gigih nak habiskan penulisan. Hehe. Selalu masalah begitulah, satu, susah nak cari tajuk cerpen yang sesuai. Kedua, nak habiskan penulisan. Idea dah ada. Nak cari mood tu yang sukar.
Terimalah cerpen yang tak seberapa ni. Harap tiada yang perasan ya (sebab nama watak) . Biasa penulis memang kuat berangan, memikirkan eh apa ya kesudahannya, walaupun sebenarnya kisah sendiri atau sahabat di sekeliling aku. Selalu cakap, kan best kalau kesudahannya begini, kesudahannya begitu. Cuma itulah cerita hidup ini, tak seindah yang ditulis oleh manusia. Tetapi disitulah keyakinannya, pada cerita yang ditulis oleh ALLAH. Barangkali jauh lebih indah dan bahagia, tapi Allah nak kita rasa pahitnya dahulu, agar kita lebih menghargai kebahagiaan. Setiap kisah cinta itu ada perjuangannya :) *sekian membebel*
p/s - aku selitkan sekali nota haraki
Cerpen : Mujahidah Musfirah
Pulang dari meeting, hati Musfirah kacau-bilau. Geram bercampur sakit hati dan marah dengan tindakan seseorang. Tak sepatutnya dia bertindak sebegitu pada orang bawahannya.
"Dia suruh kita proaktif, alih-alih kalau kita bagi cadangan sikit pun dia tak terima. Nampak sangat perlekehkan idea orang lain", luah Musfirah. Ada getaran pada suaranya.
"Hmm, kalau memang dia sudah ada jawapan dalam kepala, tak perlu provok orang lain untuk bagi idea. Apa dia nak idea kita mesti 100% sama dengan apa dalam kepala dia?", tambah Rodhiah pula.
Musfirah memutar stereng ke kiri, kereta pacuan empat roda Proton Saga menghala ke kiri setelah lampu isyarat bertukar hijau.
"Lain kali kalau mana-mana sahabat bagi idea tu, dia patut tanya pendapat sahabat-sahabat yang ada kat situ sekali. Bukan buat keputusan ikut sesuka hati. Lagi satu, dia patut hormat keputusan yang ana buat. Dia tak patut persoalkan di khalayak tentang kenapa ana memilih untuk meletak jawatan tadi. Ana rasa seolah-olah ana ini dimalukan".
Rodhiah sekadar mengiakan, dia pun tidak berpuas hati dengan cara Farhan mengendalikan meeting itu tetapi dia tidak mahu menambah minyak pada api yang sedang marak. Farhan bukanlah orang yang diamanahkan tetapi dia berlagak seperti dialah orangnya. Sahabat karibnya, Hadi, kata mereka macam orang suruhan Farhan. Luaran Hadi memegang jawatan. Hakikatnya, dia dikawal oleh perancangan dan idea Farhan. Lihat saja pada meeting itu.
Alasan yang dikemukan oleh Musfirah sewaktu ditanya Farhan terngiang-ngiang di telinganya. Dia sedikit serba-salah dengan Hadi. Dia hanya sekadar mereka-reka alasan itu setelah diprovok dan disindir oleh Farhan.
"Ana tak fahamlah kenapa enti nak tukar orang. Atas sebab apa enti nak tukar?"
"Ana tak boleh", pendek jawapannya.
"Enti sibuk sebab apa je?", ayat itu seolah-olah petir menyambar. Seisi yang hadir di bilik meeting turut terkejut dengan soalan yang diajukan oleh Farhan.Sesungguhnya si Farhan ini sengaja nak mengenakan Musfirah.
"Ana sukar berurusan dengan muslimin......", terpacul bait-bait yang tak sepatutnya dilontarkan.
Kedua-duanya terdiam, baik Farhan mahupun Musfirah.
'Ana tahu ana tak pegang apa-apa jawatan dalam kampus seperti enta. Tak perlu nak zahirkan yang ana sebenarnya terlalu lapang dan perlu diberi kerja. Jangan lantik ana hanya kerana ana tidak memegang jawatan. Berilah pada yang layak dan terbaik. Ana tak perlu kelihatan atas sebab jawatan semata', desis hati Musfirah.
Kalau ikutkan perasaan marah dan emosi yang kurang stabil, mahu saja dia berbalah dengan lelaki itu. Tapi dia tahu, dia takkan beroleh apa-apa faedah, malah akan mencalarkan imej muslimahnya sahaja.
***
Patut ataupun tidak. Dia sedikit ragu-ragu. Kalau dengan menghantar satu kiriman SMS (Short Messaging System) dapat menjernih kembali hubungan kerja kedua-belah pihak, maka dia patut. Sejujurnya, dia pun tidak pasti dengan tindakan ini. Dia cuma rasa kalau dia tak salah, maka menjunamkan harga dirinya sahaja meminta maaf pada lelaki.
"Rod, patut ke ana jelaskan pada dia? Enti rasa ada kemungkinan tak dia terasa dengan statement ana?", tanya Musfirah.
"Mungkin. Alasan enti macam ditujukan pada dia. Sebab enti kan selalu berurusan dengan dia"
"Ana patut tengok riak wajah dia apabila ana cakap macam itu. Jadi, ana tak perlu meneka sama ada dia terasa ataupun tidak", ulas Musfirah pendek.
Dia menaip-naip SMS di telefon bimbitnya.
"Salam Hadi, ana harap enta tak salah faham fasal ana nak tukar jawatan dengan orang lain. Tiada kaitan dengan enta pun. Cuma ana rasa ada orang yang lebih layak & lebih baik untuk melaksanakan tugas itu berbanding ana. Fasal alasan kenapa ana nak tukar, ana reka-reka saja sebab mereka provok ana tanya sebab ana minta tukar. Sebenarnya ana okay je bekerja dengan enta. Apa-apa pun, selamat menjalankan tugas dengan orang baru. Ana minta maaf salah silap ana sepanjang kita bekerja. Wallahua'lam."
Mesej panjang lebar usai ditaip, dihulurkan pada Rodhiah untuk dibaca.
"Okay tak Rod? Tak emosional sangat kan?"
"Okay je", balas Rodhiah pendek.
Butang 'send' pada skrin disentuh.
Sending to Hadi Ketua SDK.
***
Mimpi semalam agak aneh. Entah prosedur apa entah yang cuba diilhamkan oleh mimpi Musfirah.
Kata mimpi. Perlunya pada orang tengah.
Apakala terjaga dari mimpi itu, badan terasa panas. Matanya perit. Mimpi itu satu petunjuk yang agak rumit. Musfirah sekadar mengabaikan saja, halnya kerana itu mimpi tidur petang impak meeting yang agak stress dan mengecewakan. Barangkali dia terlalu memikirkannya sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi.
Hari-hari berikutnya dilalui sedikit menekan perasaan.
"Musfirah, enti kenapa macam tak gembira?", aju Rodhiah.
Soalan yang dituju padanya membuatkan dia terperasan bahawa dia merasa terganggu sedikit dengan apa yang berlaku.
"Emm, penat kot", Musfirah masih buat-buat menulis di meja belajar.
"Takkanlah, orang lain pun habis kelas lewat malam juga. Enti pulak dah macam Majnun yang membawa diri ke hujung dunia biarpun Laila di depan mata"
Musfirah menoleh pada sahabatnya. Sesedap madah berbicara menyamakan dirinya dengan Si Majnun, si gila cinta. Malah, mengaku pula dirinya jadi si pujaan hati bernama Laila.
"Masalah ana tiada kaitan sedikit pun dengan Majnun. Ana bukan putus cinta okay", Musfirah buat muka tak puas hati.
"Kalau tak putus cinta, tell me", pujuk Rodhiah dengan kening yang dinaikkan sedikit.
"Tell you what? I've nothing to tell", mata Musfirah dilarikan ke tingkap.
"Masalah itu ditakdirkan untuk kita kadang-kadang bukan untuk diselesaikan, tapi untuk hidup bersamanya"
"Jadi, enti fikir masalah ana ini memang ditakdirkan bukan untuk diselesaikan?"
"Up to you darling", lembut Rodhiah menjawab.
"Nanti-nantilah. Ana nak cerita pun tiada mood. Belum cerita, tapi fikiran dah terasa penat sangat"
***
Wabak Pertama, Al Futur.
Menurut penulis, al-futur merupakan suatu penyakit yang mungkin menimpa para "amilin", bahkan ada amilin yang sudah pun ditimpa penyakit ini. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.
Dinyatakan dalam buku tersebut, antara salah satu sebab al-futur ialah terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya sebagai remeh.
Kesan al-futur bakal menyebabkan dakwah Islam itu terpaksa melalui jalan yang panjang,beban yang berat dan pengorbanan yang banyak. Terbayang betapa jauhnya dahulu si pedagang terpaksa melalui jalan Laut Afrika Selatan sebelum Terusan Suez di Mesir dibuka untuk laluan pedagang.
Pesanan Nabi SAW,
"Sesungguhnya terdapat seorang hamba yang melakukan amalan ahli neraka padahal ianya adalah ahli syurga. Dan terdapat seorang yang melakukan amalan ahli syurga padahal ianya adalah ahli neraka. Sesungguhnya segala amalan itu dinilai pada penghujungnya."
Buku yang pada asalnya sekadar diselak-selak seakan menusuk dalam hatinya. Dia berdoa di dalam hati, moga dijauhkan daripada penyakit al-Futur. Matanya dipejam. Mungkin ini hikmahnya.
" Enta tak payah fikir sangatlah fasal itu. Banyak lagi perkara yang perlu enta risaukan. Janganlah enta sibukkan diri enta dengan perkara yang remeh-temeh macam ni", Farhan menepuk bahu Hadi berulangkali.
"Ana tahu ini yang terbaik buat ana. Musfirah pasti bersebab buat begitu. Dan ana rasa, enta tak patut perli dia depan sahabat-sahabat lain".
"Hadi, cuba enta fikir balik. Dia tiada sebab yang kukuh pun buat keputusan begitu. Rasa macam nak tarik diri, tarik diri. Semudah itu. Itu bukan kali pertama dia buat begitu, enta tak ingat? Usahlah enta termakan dengan dolak-dalih dia tu. Ana kenal sangat jenis manusia sebegitu. Enta tak rasa tak adilkah, di saat sahabat-sahabat lain dipertanggungjawabkan dengan jawatan dan tugas dakwah yang banyak. Dia pula fikir cara yang bagaimana untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan", tutur Farhan sedikit emosi.
"Ana tak nak bersikap penghukum. Dan ana rasa mungkin itu yang terbaik buat masa ini.", Hadi menghulurkan buku di tangannya kepada Farhan.
"Apa ni?"
"Untuk entalah. Bacalah yang ana dah lipat tu. Wabak keenam"
"Tengoklah kalau ana ada masa", jawab Farhan acuh tak acuh. Lantas dia berlalu pergi dengan buku ditangannya.
***
Setelah membuat pesanan di Kafe Bonda yang terletak tidak jauh dari kolej kediamannya, Farhan melabuhkan punggung di kerusi. Tidak lama kemudian, matanya tertangkap pada kelibat seseorang yang sedang bersusah-payah mengeluarkan kotak dari but kenderaan jenis Proton Saga berwarna merah. Dia bergegas ingin membantu.
"Cik, mari saya tolong..."
"Eh, tak mengapa..."
"Nampak macam berat, kalau.......", perkataan yang bakal keluar dari mulut Farhan seakan terkunci saat gadis bertudung labuh berwarna coklat itu menoleh kepala ke arahnya.
Sepi seribu bahasa. Suasana tegang meeting tempoh hari kembali menerjah. Masing-masing cuba meneutralkan rasa sendiri.
"Enta tak perlu susah-susah. Ana biasa angkat sendiri", suara Rodhiah memecah kesunyian. Dia sebenarnya segan berbual berdua sebegitu, mujur ramai orang di kafe.
"Enta sudah terbiasa berada di atas, enta bukan peduli masalah orang di bawah", luah Rodhiah tiba-tiba.
"Apa maksud enti?", Farhan mengerutkan dahi, cuba mencerna maksud kata-kata Rodhiah. Dia tetap juga ingin membantu walaupun huluran bantuan darinya seakan tidak diraikan Rodhiah. Kotak itu diangkat keluar dan diletak atas trolley barang yang tersedia di situ.
"Tiada apa-apa", tutur Rodhiah.
Usai mengangkat keluar kotak-kotak itu, Farhan menuju ke kafe semula ingin menyambung hajat perutnya minta diisi. Kakinya dilangkah dengan slow motion. Kata-kata Rodhiah seakan pita perakam yang ditekan butang play berulang-ulang kali.
"Farhannn!!!!!"
Ceconteng
Aku mengimpikan aku lebih banyak perjalanan musafir, supaya bertambah baik penulisanku dalam menggambarkan latar sesuatu tempat dan suasana.
(doakan aku thabat dalam penulisan T_T, tetapi yang paling utama nak thabatkan hati pada ketaatan dan perjuangan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan