Nasyid Instrumental

19 November 2018

Masjid Nabawi : Syafaati Kami Ya Rasulullah

Masjid Nabawi

Prolog

“Surah Ar-Rahman lagi?”

Aku menoleh ke arahnya. Mungkin Fahima memerhati aku asyik mengulang surah yang sama pada setiap kali selepas solat fardhu di sini.

“Iya. Sebab suka ”

Pendek jawapanku. Antara malas dan berusaha juga melayan soalannya. Boleh saja ingin meluahkan cerita, namun  ketika ini, berdiam diri seakan ubat yang lebih cepat sembuhnya. Sebegitu banyak perkara yang mengecewakan dan mencengkam perasaan berlaku di tanah air, kemudian Tuhanmu yang Maha Penyayang dalam firmanNya yang berulang-ulang memujuk, ‘Maka nikmat Tuhan manakah yang hendak engkau dustakan?”

Harus sampai ke tahap manalah hendak dibawa kesedihan dan dukacita berpanjangan itu.  
Bukankah nikmat & rahmatNya sebegitu luas untuk difikir-fikirkan?

Catatan di Masjid Nabawi (Dis 2015)

Kawasan luar Masjid Nabawi
Keadaan di pintu utama sebelah kiri masjid Nabawi agak padat dengan manusia pelbagai negara yang keluar dan masuk.  Ketika itu waktu perantara antara Zohor dan Asar.  Aku dan Fahima setelah mengambil kasut kami dalam bungkusan beg kain, bersedia untuk keluar untuk selesaikan hajat manusiawi, memperbaharui wudhu’ selain mengisi semula botol kosong kami dengan air Zam-zam.  Kami menghala ke bilik air yang tersedia di bahagian laman masjid Nabawi di tingkat bawah (perlu melalui elevator/ tangga).  Ketika dalam perjalanan keluar di pintu Masjid Nabawi, kami ditegur seorang wanita berbangsa arab dalam linkungan usia 50-an.

“Assalamualaik! Hal Babur Raudhah maftuhah? (Adakah pintu raudhah dibuka?) ”,

Wanita itu memandang tepat pada wajah Fahima menanti jawapan. Fahima kelihatan terpinga-pinga.  Aku yang hairan. Untuk soalan itu jawab sajalah, Na’am atau La’. Oleh kerana dia tidak tanya pada aku, aku diam sajalah kerana fikir Fahima boleh jawab sendiri pertanyaan semudah itu. Pintu Raudhah tidak dibuka sepanjang waktu untuk jemaah muslimah, cuma pada hari dan waktu tertentu sahaja dibuka seperti selepas solat Asar dan selepas Isyak.  Berbeza dengan Jemaah lelaki yang dibuka hampir sepanjang waktu.

Fahima mengeleng seraya menjawab, “No”.

Aku dah tersengih-sengih. Orang tanya bahasa Arab, ada pula dia jawab dalam bahasa Inggeris. Wanita Arab yang bertanya itu langsung terus melangkah ke dalam, sedikit terkejar. Mungkin oleh kerana keadaan di pintu masuk yang sedikit bertolak-tolak.

“Haishlah. Macam tak pernah belajar arab saja jawabnya. Waktu inilah nak praktis cakap Arab”, komenku pada Fahima setelah kami keluar dari pintu Masjid Nabawi.

Keadaan laman luar Masjid Nabawi agak lapang dan tenang.  Ada yang berkelah bersama keluarga. Kebiasaannya, manusia mula datang berbondong-bondong ketika waktu solat, kawasan laman yang lapang ini juga sebahagiannya jadi tempat untuk menunaikan solat.

“Entahlah. Gugup tiba-tiba. Punyalah tak sangka orang Arab tu cakap arab dengan Ima. Faham tak maknanya apa?”

“Nak kata diri sendiri ada muka orang Arablah tu!”,  aku memandangnya dengan ekor mata.

“Kak Ngah ada? Tak ada kan, tak ada kan?”, dia terkekeh-kekeh  ketawa geli hati. Bahagia sungguh dilihat ada iras-iras orang Arab.

“Malas nak layan”. 

Manusia perasan itu ada di mana-mana termasuk di Masjid Nabawi.


***


Karpet Hijau (Batasan kawasan Raudhah)

Setelah selesai Isyak berjemaah.

Sukar digambarkan perasaan apabila langkah mulai hampir pada kawasan Raudhah. Bersebelahan kawasan Raudhah adalah makam Rasulullah. Sollallahu’alaihi wasallam. Kami boleh mengetahui batasan kawasan Raudhah adalah hamparan karpet hijau, sementara kawasan selebihnya di Masjid Nabawi berhampar karpet merah.

Jemaah Malaysia dikelompokkan bersekali dengan Jemaah Indonesia bahagian hadapan selatan pintu Raudhah. Jemaah beserta mutawifah masing-masing. Kelompok kami menanti giliran dengan sabar. Paling awal menunggu, antara paling akhir masuk.  Boleh saja ikut gerombolan bangsa Arab lainnya ikut ke dalam, cuma mungkin ianya menjadi medan tempur yang tidak layak buat kami. Orang Malaysia dan Indonesia fizikalnya agak kecil. Kudratnya juga begitu.

Pintu Raudhah dikawal oleh pengawal muslimah berbangsa Arab berabaya hitam berniqab. Bercakap dalam bahasa arab komunikasi yang mudah difahami semua. Ajaib bukan di sini? Apabila yang tidak boleh berbahasa Arab juga boleh faham bahasa Arab ketika itu. Mendengar arahan dengan baik dan saksama.

“Isbir! Isbir!”, arah pengawal Raudhah.

Namun, yang tidak mahu menunggu giliran, terus aja merempuh. Barangkali bukan bahasa isunya yang membuatkan manusia tidak faham.  Bahasa yang mudah difahami, namun sukar untuk mentaati melaluinya.

Tanpa mutawifah, kami cuma bertiga ketika itu – aku, Fahima dan Umi. Zikir-zikir dan doa dalam buku umrah telah habis kami baca beberapa kali. Walaupun setelah berganjak beberapa kali kedudukan tempat duduk, keadaan di pintu Raudhah masih juga agak sesak seakan tidak berkurang. Oleh kerana menunggu agak lama, aku dan Fahima kami bernasyid berdua, tanda ingatan kami pada Rasulullah. Selagi manusia tak surut-surut, kami berdua berganti nasyid berikutnya.


Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

----

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Karena pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Kutahu cintamu kepada ummat
Umati umati
Kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafa'atkan kami
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kurniakanlah syafa'atmu

Makam Rasulullah telah kelihatan dari kejauhan, pesan Umi pada kami berdua - 

 “Ucapkanlah salam buat Rasulullah. Sampai sana nanti jangan tamak. Solat dua rakaat di Raudhah dan terus cepat-cepat keluar dari Raudhah. Doa nanti saja ketika di karpet merah. Biar ramai lagi manusia beroleh tempat untuk bersolat di situ”.

Dan manusia berebut-rebut untuk masuk ke Raudhah dan mendekati makam Rasulullah. Solat di Raudhah aku kira mungkin sekitar seminit setengah atau dua minit.  Banyak masanya duduk-duduk iktikaf di karpet merah sambil memandang sayu pada makam Rasulullah. Ya Rasulullah, aku hadir menziarahi makammu. Dan dalam aduan-aduan kecil perihal kerumitan kehidupan dan perjuangan, yang aku kira sebenarnya langsung tidak sebanding perjuangan Nabi. Tetapi entah kenapa kita tetap juga ingin mengadu. Atau boleh dikira, bahawa adakah hidup ini sebenar-benarnya telah menyambung risalah yang dibawanya atau tidak? 

Muhasabah aku ketika itu. Pengalaman ini, adalah satu umrah di hujung tahun ketika cuti sekolah. Belum haji yang pastinya mengumpulkan lebih ramai manusia. Pengalaman berada dekat dengan makam Rasulullah pada satu waktu solat. Baru Muslimah sahaja, belum ditambah Jemaah muslimin yang ada. Seluruh manusia yang mengaku umat Rasulullah belum lagi benar-benar dikumpulkan. Umat Rasulullah dari zaman para sahabat sehinggalah ke abad ini.  

Berebutnya sudah sebegini.

“Lihatlah betapa ramai umat Rasulullah, bukan kita saja yang umatnya, bukan kita saja merinduinya. Maka di akhirat nanti, berjayakah kita bertemu Nabi memohon syafaatnya di tengah-tengah keramaian dan tolak-tolak manusia yang juga turut mengaku umatnya?"

Syafaati kami Ya Rasulullah.

Untuk hari-hari yang kami tenggelam dalam urusan dunia tanpa selawat kepadamu, untuk hari ini di hari kelahiranmu, apa salahnya kami melahirkan rasa cinta dan mengingatimu dengan berlebihan daripada selalu?

Allahumma solli’alaihi wasallam.

Yang tetap dalam kerinduan, kerinduan untuk kembali


Taqabalallahuminna wa minkum.
Moga tulisan ini bermanfaat. Berceramah atau menjadi panel forum memang bukan saya orangnya, maka tulisan ini sajalah yang termampu untuk menzahirkan sebuah rasa cinta kepada Baginda. 

05 Oktober 2018

Ceconteng Hati #2


Buku teman musafir dalam perjalanan ke BTS. Mencari cinta sejati cara Rabiatul Adawiyah. Untuk beberapa hari ini, sukar benar rasanya untuk memberi penumpuan dalam sesuatu perkara. Sekarang tengah meeting pun masih lagi menaip status di instagram. Rasa bahagia, kecewa, sedih, gembira, teruja, rindu, sepi. Bagaimanalah segalanya boleh bercampur aduk dan kita sendiri tak mengerti keadaan diri. Wahai jiwa, apa yang dicari sebenarnya?

****

"Kedekatan pada Tuhan adalah satu-satunya hiburan. Tidak pernah peduli masa mudanya, dia tidak meminta apa-apa, dia memberikan segalanya untuk doa dan ibadah. Perasaannya melimpah dalam dirinya, baik itu dalam kesunyian ataupun keramaian. Dia menempuh semua jalan untuk mencari Cinta Tuhan, melakukan apa saja yang membuatnya merasa dekat pada Sang Pencipta. Kesetiaannya hanya beredar mengelilingi satu hal saja; sepenuhnya meninggalkan dunia dan menganggap kecil dunia; sambil menangis dengan rasa kawatir dan rindu akan hari Pengadilan, dan tetap mencari pengampunan"

15 September 2018

The Road Not Taken

Bismillahirrahmanirrahim
Ini catatan kedua dengan entri tajuk yang sama. Setelah melepasi beberapa tahun zaman persekolahan, barulah jelas relevannya sajak ini sebagai silibus pembelajaran. Kita pernah membuat keputusan yang salah, dan darinya kita belajar tentang kehidupan. Barangkali belajar lebih banyak berbanding jika dahulu kita membuat keputusan yang betul. Belajar bahawa kesilapan itu pun adalah satu bentuk dan proses pembelajaran.

Trek Bukit Batu Putih, PD

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim,
Because it was grassy and wanted wear;
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I—
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.

***

Pernah dahulu dihadapkan dua persimpangan, antara bidang agama atau selainnya. Kerna fikir kita waktu itu, kita boleh memilih. Kita memilih untuk ambil selain dari bidang agama kerana rasa beratnya amanah seseorang yang belajar dalam bidang agama. Bimbang tak benar-benar mengamalkan agama sedalam yang kita pelajari. Bimbang tak mampu menunjukkan akhlak orang yang arif dalam ilmu agama.  Tambah, melihat kecelaruan hari ini, jika tidak teliti dalam mengeluarkan pandangan, maka lihatlah betapa mudahnya fitnah berleluasa dan bercelarunya masyarakat.

Entah kenapa, bidang agama sahaja yang jelas kelihatan mudah compang-campingnya di sana sini berbanding disiplin ilmu yang lain.

Apabila sesi pertemuan bersama SV, setelah utarakan sesuatu isu baru (aku propose nak tukar material kepada material yang lebih bagus). SV tanya berapa rujukan dah sebutkan material itu lebih baik daripada yang sedia ada. Jawabku pendek, dua atau tiga. Sedar sendiri, betapa jawapan rujukan dua atau tiga itu pun tidak berapa menyokong. Fikir lagi, untuk perkara yang aku rasa kecil ini, perlu juga rujukan sebegitu banyak. Dua atau tiga tidak memadai.

Dan aku kembali untuk memperbaiki pandangan dahulu, bahawa ketelitian pada ilmu itu tidak semestinya  ada dalam cabang ilmu agama sahaja.  Mana-mana cabang ilmu, jika tidak teliti dan tiada disiplin ilmu, boleh juga mencelarukan diri sendiri, lebih malang ketidakpastian itu disebarkan kepada masyarakat.

Wallahua'alam.


11 September 2018

Catatan Refleksi Suku Abad



Masih jauhkah permusafiran ini?

Usia 25 tahun. Untuk hari ini tiada buat apa pun. Cuma peruntukkan satu hari untuk intropreksi diri (penilaian diri). Bertenang dengan perasaan. Bertenang atas apa yang diharap-harap selama ini yang berbeza dengan takdir diri. Beriman dan berdamai dengan takdir lain yang Allah tentukan buat diri. Berfikir sehabis mungkin untuk projeksi diri beberapa tahun mendatang (seakan yakin masih punya kesempatan untuk beberapa  tahun lagi). Sedangkan saat berikutnya pun aku belum pasti masih dikurniakan nyawa atau tidak.

Usia 25 tahun. Usia semuda ini, akal yang masih cerdas, tubuh badan yang sihat dan keinginan yang kuat. Yang ada ketikanya, aku tercari-cari, mana yang lebih patut aku halakan diri. Pada menambah seoptimum mungkin ilmu di dada, beramal sebanyak-banyaknya atau memanfaatkan diri sementara tenaga masih kuat dan tubuh badan yang sihat. Pada fikiran aku, jika aku tidak memaksakan diri di usia muda ini, aku bimbang apa boleh aku memaksakan diri pula di usia tua nanti?  Andai muda pun bermalas-malasan selalu seperti ini.

RISAU



Usia ini aku terlalu risau tentang banyak perkara.  Belum bekerja, risaukan tak dapat kerja. Sudah dapat kerja, risaukan pula tidak bekerja tetap, tidak bekerja dalam bidang sewajarnya.  Lama sikit bekerja, risau lagi, sampai bila harus bekerja sebosan ini, hidup tak jadi lebih baik selain menghadap kerja-kerja rutin yang entah di mana hujungnya. Risau lagi, bilalah aku ingin betul-betul fokus pada mengejar cita-cita dan menambah ilmu dalam diri. Risau lagi, soal rezeki.  Gaji sekecil ini, harus berterusan bekerja sampai bila supaya aku boleh menyumbang pada keluarga?

Banyak masa, fikiran aku terlontar ke memori lalu. Pada kerisauan lalu. Usai ceramah Ustazah Nik Norseha, seingat aku usia 15-16 tahun. Aku menangis mengadu tentang solatku pada ustazah. Betapa, aku solat selama ini, namun aku tidak merasai kemanisan iman. Barangkali, impak itu kerana tajuk dalam silibus Pendidikan Agama Islam (PAI) yang menekankan bagaimana ciri-ciri yang dikatakan kemanisan iman.

“Ustazah, saya solat. Tapi saya tak rasa seronok pun dengan solat. Saya tak rasa manisnya solat. Saya tak rasa pun kemanisan iman”

Jawab ustazah, “Awak masih kecil. Mungkin belum faham dan merasai lagi apa yang dikatakan kemanisan iman. Insyallah apabila awak semakin dewasa.  Awak akan merasai kemanisan iman”


Dan apabila aku timbang-timbang diri sendiri, yang aku kira sekarang berada di tahap dewasa. Adakah aku telah merasai kemanisan iman ketika beribadah kepada-Nya? Masihkah aku pada kerisauan aku yang dahulu? Risau dengan hal-hal perbaiki roh daripada sibuk risaukan hal-hal dunia tiada hentinya?

Adakah pertambahan usia ini, telah menjadikan aku manusia yang lebih baik di sisi Allah, lebih berbakti sesama manusia?

APA YANG KAU KEJARKAN?




Kemudian, fikiran aku terlontar lagi. Pada saat aku pulun baca Al-Quran, pulun habiskan bacaan Al-Kahfi di pagi Jumaat dek kerana jadual bekerja kilang yang terlalu padat. Teman sebilikku menegur,

“Syifa, laju sangat baca Al-Quran tu. Ada huruf yang tidak pada haknya”

Lalu membuatkanku tersedar,  apa yang aku kejarkan selama ini? Jika aku tak sempat habiskan Al-Kahfi di pagi hari, aku masih punya rehat tenghari jumaat yang panjang, aku masih ada sedikit waktu lagi di waktu petang sementara maghrib. Lalu, apa yang aku kejarkan?

Adakah dengan bacaan Al-Quran secincai ini, yang sekadar menghabiskan surah Al-Kahfi, lalu Allah redha dengan bacaan Al-Kahfiku? Apa yang aku kejarkan? Bukankah redha Tuhan?  Apalah ertinya menghabiskan bacaan  satu surah Al-Kahfi , jika yang sebenarnya amal itu tidak menjadikan Allah redha denganku?

AMAL

Maafkan aku, fikiran aku terlontar lagi. Tajuk tuisyen Tingkatan 3 hari itu yang perlu aku ajarkan pada mereka berkenaan kematian bintang. Aku bertanya,

“Setiap bintang di galaksi akan mengalami kematian bintang. Adakah matahari itu adalah bintang?”
“Iya”
“Jadi, ada kemungkinankah bahawa suatu hari nanti, matahari yang jadi sumber cahaya dan penghidupan di Bumi juga akan mati?”
“Iya”
“Lalu, jika matahari mati. Apa yang berlaku pada kita ketika itu?”
“Kiamat!”

Dan kemudian, jawapan itu mendiamkan aku kerana merasa amal belum cukup banyak buat bekal jika kiamat berlaku. Jika mati di usia muda, apa cukup amal untuk dipersembahkan? Kerana selama ini, dengan kemudaanku, aku merasakan punya waktu yang banyak, lalu aku berlengah-lengah dan membuang masa. Padahal, bukankah telah ramai yang mati sebelum tua?

MUJAHADAH

"Hujung akal itu fikir, pangkal agama itu zikir" - Hamka

Usia 25 tahun, membuatkanku ada ketikanya lebih selesa bersendiri. Mujahadahnya jauh lebih terasa, namun pergantungan pada Tuhan yang selalu aku harapkan agar aku menang dalam medan yang aku tempurkan. Yang sebelum ini, merasa bersendiri itulah yang paling aku takutkan. Jujurnya,ketika ini aku jadi agak kedekut dengan masaku pada orang lain, kerana usia 25 tahun, aku merasa patut telah mencapai sesuatu. Tetapi sebaliknya tidak. Lalu berfikir-fikir, apa yang telah kulakukan dengan masa-masaku sebelum ini. Terbazir begitu sahaja.  Sibuk benar memperbaiki hal-hal besar, memperbaiki masyarakat, sedangkan untuk diri sendiri sudah lama terhenti usaha ‘islah nafsi’. Engkau sibukkan orang lain, mengapa sampai melupakan dirimu? Apa kau telah cukup baik sempurna serba-serbinya?

Ada masanya, aku merenung-renung diri lalu memikirkan. Bagaimana mujahadah orang dahulu kala? Mujahadah di zaman para sahabat, pasti terasa indah kerana penguatnya Rasulullah.  Mungkin tak perlu jauh, seabad lamanya? Setelah merasakan, betapa banyak fokus dan masa diri sendiri terganggu dengan media yang merosakkan. Adakah mujahadah aku atau mereka yang lebih dahsyat? Perasan sendiri, merasakan diri sendiri sudah teruk bermati-matian bermujahadah untuk dekat pada Tuhan.

“Allah bukan saja-saja letakkan Saidina Abu Bakar di sisi Rasulullah ketika zaman awal membawa Islam. Melainkan bersesuaian dengan kekuatan iman Saidina Abu Bakar. Hatta para sahabat-sahabat yang lain pun telah Allah tentukan hidup di zaman itu bersesuaian dengan kekuatan iman masing-masing. Dan setiap dari kita Allah telah tentukan, bahawa di zaman inilah zaman yang terbaik berdasarkan kekuatan iman masing-masing.  Allah tak hidupkan kita di zaman itu, kerana Allah tahu kekuatan roh kita tak sehebat macam sahabat-sahabat Nabi”, begitu pesan guru dalam majlis ilmu kami hari itu. 

Yang setelahnya, beliau menambah,
“ Apa hujah yang kita nak bagitahu Allah jika di akhirat nanti  kita nak digolongkan bersama Nabi dan sahabat-sahabatnya? Apa hujah kita nak melayakkan kita bertemu Nabi? Siapa kita? Kita bukan dalam golongan yag diuji, para ilmuan, imam-imam. Sedangkan kita siang dan malam minta dihiburkan, sibuk mengikut telunjuk hawa nafsu?”

Dan, ketika itu. Tangisan guru kedengaran. Aku selawat pun belum untuk hari itu. Lalu, atas apa aku merasa sudah layak untuk bertemu Nabi?


SEBUAH PENERIMAAN

Dan aku memilih untuk menulis sebagai pesan-pesan buat diri sendiri. Yang aku bimbang-bimbangkan sentiasa adalah tentang bagaimana penerimaan manusia lain terhadap diriku. Sedang aku tahu, dosa dan maksiat aku, Allah simpan sekemas-kemasnya,yang kemudian manusia memandang aku sebagai manusia mulia. Menerima aku.

Padahal aku tak pernah memikirkan atas dosaku dan maksiatku yang lalu, yang aku rasa telah habis bermujahadah, dan ada ketika aku gagal. Kemudian, tertimpa atas dosa-dosaku dan kelamnya masa lalu, Allah tetap juga menerima aku. Walau aku tahu, entah buat kali ke berapa aku telah menzalimi diriku sendiri dengan dosa-dosaku.


Image result for surah al-anbiya' 87
Surah Al-Anbiya : 87


“(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya” (Al-Mulk :2)

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari kejahatan diriku sendiri, dan dari kejahatan segala yang melata yang ubun-ubunnya berada dalam genggaman-Mu, sesungguhnya Tuhanku selalu berada di atas jalan yang lurus”


Taqaballahu minna wa minkum. Moga tulisan ini bermanfaat, tak hanya buat diri sendiri.
Moga-moga tahun berikutnya lebih baik. 

05 September 2018

Taibunallah


Pantai Bukit Batu Putih, Port Dickson

Teringat sewaktu kuliah buku sesi pertama, sebelum memulakan kupasan buku yang baru, guru mulakan dengan bacaan ratib. Hinggalah tiba  ke satu ayat :

تائبون الله
Ertinya : Kami bertaubat kepada Allah

Terus rasa tersentak. Sebelum ini, belajar apa-apa tak pernah nak memulakan dengan amalan memohon taubat & mensucikan hati terlebih dahulu. Kemudian hairan sendiri kenapa sukar nak fahamkan dan ingat kembali apa yang telah dibaca. Kerna tak rasa ilmu sains sekalipun, tetap datangnya dari Allah. Ilmu itu cahaya, takkan mampu menembus masuk pada hati yang kotor. (cakap kat diri sendiri)

Seakan baru tersedar, selama ini fikir-fikir yang banyak, zikirnya yang kurang. Fikir dan zikir. Apa sahaja yang kita baca untuk membawa kita ingat kepada kebesaran Tuhan, luasnya ilmu Tuhan, kerdilnya diri. Bukan membawa rasa besar diri.

#selfreflection
**
"Apa guna ilmu banyak, akal cerdas, kalau sekiranya hujung perhentian tidak tiba ingat pada Tuhan?" - Hamka (Falsafah Hidup)

"Sesungguhnya setinggi-tinggi falsafah dan pemikiran adalah membawa kepada seorang hamba sujud di atas tanah menyembah diri kepada Tuhan" - Ustaz Hasrizal (Setia kepada kebenaran)

31 Ogos 2018

A Day With Syamina


Bismillahirrahmanirahim
Flashback (Tulis semula)

Masjid KUIS, Bandar Seri Putra

I

Ada ketika, pernah rasa macam tak jumpa hati nak baca Al-Quran dalam bilik sendiri. Rasa malas dan tak bersungguh. Cuma ketika itu, hanya dalam bisik hati sendiri bahawa aku teringin sangat nak tahsin dan mula menghafaz semula. Tiba-tiba, bayangan Syamina muncul. Syamina, pertemuan pertama kami sewaktu bengkel penulisan PAMI. Dari sehari ke sehari, terasa nak hubungi dia. Tetapi entahlah apa dia perkara yang aku terlalu sibukkan pun tak tahu yang sampai ke sudah tak hubungi dia.

Hinggalah ke suatu hari, aku ajak Nadzirah hadir ceramah ke Masjid KUIS. Selesai saja habis ceramah, kami solat isyak berjemaah sekali di situ. Rasa macam hebat sungguh cara Allah susunkan pertemuan antara aku dan Syamina. Habis berdoa, salam orang sebelah, tahu-tahu rupanya Syamina ada kat sebelah.

"Ya Allah, Syamina, saya baru terfikir nak hubungi awak!", ujarku sedikit teruja.

"Saya pun macam rasa Syifa yang solat sebelah saya tadi. Rasa macam Syifa' nak jumpa saya", balas Syamina.

Ketika tu, rasa sebak nak nangis pun ada. Syamina ini Allah gerakkan perasaan dia untuk bertemu aku atau bagaimana. (Sejujurnya, sedikit seram sejuk pun ada juga. Jangan-jangan wali Allah ini)

Betapa hebatnya Allah susunkan pertemuan. Dan Allah tahu betapa kuatnya keinginan kita untuk menghafaz Al-Quran semula. Maka, Allah tunjukkan jalan dan orangnya untuk membantu kita dekat dengan Al-Quran. Kita nyatakan rasa atau tidak. Allah tetap tahu. The Most Undestanding one.

Juga Allah sentiasa memudahkan segala niat-niat yang baik.

II

Ifthar bersama

Kita minta seorang guru quran, dan Allah beri lebih daripada itu. Nikmat bersahabat dengan seorang sahabat solehah. Maka nikmat Tuhan manakah yang hendak engkau dustakan?

30 Ogos 2018

Ceconteng Hati #1



Laksana watak Peterpan,pernah berharap tetap jadi kanak-kanak supaya punya imaginasi yang tak terbatas dan buat banyak hal yang menggembirakan. Tak perlu berat-berat fikir tentang perkara jauh dan tak terjangkau.

Tapi adakalanya, berharap juga alangkah baiknya kematangan hari ini ada pada diri 5 - 10 tahun yang lalu. Banyaknya perkara boleh selesai dengan tenang melalui kematangan fikiran. Atau mungkin keserabutan hari ini dengan kematangan fikiran 5 tahun mendatang.

Wish to stay young physically, but grow in maturity.

19 Ogos 2018

Selamat Berbahagia Puan Jamilah!


Aku masih ingat bicara kita tentang masa hadapan yang kita khawatirkan. 
Dan hari ini sebahagian kita telah melaluinya. 


Entah kenapa kerap aja terkenang-kenang. Lantas sengaja merakam memori lalu pada bait-bait tulisan di sini.

*Tulis sambil play instrumental lagu Sahabat Sejati (UNIC)*

Pernah kami sama-sama terlibat sebagai urusetia kursus kahwin sebagai memenuhi projek subjek keusahawanan.  Alang-alang itu kami terus saja jadi peserta kursus kahwin kerana kebetulan belum ada sijil kursus lagi. Konsep kursus kahwin, setiap selesai satu slot akan ada sesi zikir munajat dan muhasabah. Kali itu, sesi muhasabah adalah tentang keluarga. Ingatilah pengorbanan Ibu dan Ayah masing-masing.

Dan aku, pantang orang sebut-sebut bab ibu dan ayah, bertambah usia sebegini pun aku masih rasa sensitif saat bicara tentang ibu dan ayah. Hari itu, macam biasa, seperti program motivasi zaman UPSR dahulu kala, ya, kitalah yang beriya menangis. Perasaannya macam nak berlari pulang & peluk ibu ayah. Serasanya banyak lagi kebaktian sebagai seorang anak yang belum selesai.

Dalam hangat-hangat air mata. Aku baru teringat  Jamilah baru sahaja kehilangan ayahnya 2 bulan lepas. Aku toleh ke kanan. Aku perasan pandangan matanya tepat ke hadapan, pandangan tembus, tiada air mata. Aku tahu dia sedang menahan tangis dalam dada. Padahal dia lebih patut merasa sebak berbanding aku. Tanpa berkata apa-apa. Aku pegang tangan Jamilah,

‘Ayah Jamilah memang dah takda, family Jamilah jauh. Tapi Jamilah jangan lupa, orang family Jamilah kat sini’

Aku terus peluk Jamilah seeratnya. Pelukan itu seolah saling mengerti bahasa antara kami. Bukankah persahabatan itu juga sebuah ikatan hati?

**

Busana pink dengan batuan manik yang dijahitnya sendiri cantik terletak dikenakan di hari bahagianya.  Jamilah beberapa kali panggil aku agar bergerak ke sisinya, duduk sebelah bantal  yang dijadikan alas pengantin. Buat meneman debar di hati agaknya.  Padahal, andai saja Jamilah tahu, debar di hati aku pun boleh tahan rancaknya! Macam aku pula pengantinnya.

“Aku terima nikahnya  Jamilah binti Mohamed dengan mas kahwinnya…..”
“Sah”
“Sah”

Jamilah yang dari tadi memandang ke hadapan tenang. Dari semalam lagi tenang. Aku yang hairan, Jamilah bakal terima orang baru dalam hidup dia, yang dia sendiri tak begitu kenal siapa. Masakan boleh setenang itu pada sebuah penerimaan? Aku yang gusar terlebihnya.

“Syifa, bila masanya telah sampai. Kita yakin dan rasa tenang dengan orangnya. Kita serahkan pada Tuhan atas segalanya. Insyallah perasaannya tenang dan baik-baik saja”

Akad nikah selesai. Jamilah masih terpaku di situ. Pandangannya lolos ke hadapan. Buat suaminya barangkali.  Sebakku bertali arus.  Hampir 5 tahun bersahabat, aku menyaksikan segala perjalanan jauh dan menyakitkan Jamilah lalui untuk sampai pada detik ini. Jamilah berhak untuk merasa bahagia ujarku berkali-kali. Namun, kita lupa, kesakitan dan kekecewaan lalulah yang sebenarnya memaknakan erti kebahagiaan hari ini. 

Aku genggam erat tangannya, seakan menyedarkan dirinya bahawa akad yang sah telah terlafaz.

“Jamilah. Jamilah dah jadi isteri kepada seseorang.  Inikan waktunya yang Jamilah nantikan selama ini”
“Syifaaaaaaaa….”

Pelukannya erat sama seperti peristiwa hari kelmarin di kursus kahwin. Engkau tahu sahabat, perasaannya berat, seakan melepaskan sebuah persahabatan. Namun setelah yakin ada yang lebih baik menjagamu, meneman sedih dan gundah hatimu.  Insyallah, baik-baik aja semuanya.  Bukankah Allah telah menyusun takdir yang indah buatmu?

Selamat berbahagia Puan Jamilah!


Maksudnya :"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)" Az-Zukhruf :67

 Sudah menjadi adat berkawan, kadang-kadang hubungan kekal berpanjangan, tetapi ada yang berakhir dengan permusuhan. Islam mengajar kita supaya meletakkan taqwa sebagai asas persahabatan. Jika ini menjadi pegangan, insya-Allah, hubungan mereka akan terus berkekalan. Mereka tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat perlindungan Allah di hari akhirat kelak, dan Allah memberi jaminan mereka tidak merasai sebarang kebimbangan dan tidak akan berdukacita apabila tiba saat kembali menemui Tuhan.

Moga-moga persahabatan ini ke syurga :)

30 Julai 2018

Take A Walk


Bismillahirrahmanirrahim.

Ada ketika bila terasa berlelah-lelah terhadap suatu hal, perasaan untuk pergi jauh datang kembali. Penatlah hati.

"Syifa, ajarkan saya teknik bernafas dengan baik", Ujarnya tiba-tiba.

"Teori atau formula?", fikir bahawa itu gurauan dia semata.

"Bernafas dengan betul, agar hilang sesak di dalam dada".

"Take a walk. Put your brain aside. Jangan fikir apa-apa. Kalau tengah duduk, baring. Take a time for tafakkur. If you have been in Mecca, just imagine you are there right now..."

Dan, selalu, nasihat untuk orang lain itu sebenarnya lebih tertuju pada diri sendiri.

'Bukankah di sana tugas kita cuma beribadah kepada-Nya. Lalu, hal apa yang disesak-sesakkan cuma jambatan membawa kita pada Dia?'



Janda Baik, Sheikh Nuruddin's Talaqqi Class (June 2016)

18 April 2018

Rencam Politik

Bismillahirrahmaniirahim,

Tulis, mana tahu dengan cara ini rasa itu lebih aman.
Pernah aku teman seseorang ke majlis minum petang yang mengumpulkan kepelbagaian ahli politik, sekadar meneman. Sambil jurnal dan highlighter di tangan. Aku malas nak ambil bicara, maaf aku memang tak nak jadi part-of-them. Cuma, telinga masih peka isinya.

Ku soalkan pada dia,

"Kata bekerjasama, tetapi kenapa politik sampai jatuhkan sesama sendiri. Cukuplah tunjukkan apa yang ingin dibawa dan buktikan kebagusan kita dalam berkata-kata. Apa perlunya sampai buat jenaka memalukan individu? Tak adakah cara lagi polite?"

"Itulah politik. Kalau tak tahan, jangan masuk dalam politik"

Terdiam. Kalaulah tak nak terlibat dalam politik disebabkan ketidaksetujuan kita atas sesuatu perkara dan kebusukan politik itu sendiri. Jadi, siapa yang tinggal untuk menunjukkan politik yang benar?


***

Aku merasakan adalah satu perkara yang tidak wajar untuk memaksakan pendirian politik kita pada orang lain. Bukankah suruh jadi bangsa yang berfikir?

Lemas.

Kadang fikir, alangkah baiknya jika segala perkara yang dikusutkan dapat diselesaikan di meja tulis.Asingkan diri (acah-acah ahli intelektual) kritik masyarakat dan pemerintah, tak nak jadi sebahagian daripada masyarakat dan pemerintah yang dikritik. Sibukkan diri dengan hal-hal keilmuan dan buku-buku di perpustakaan.


Petikan dari buku Desperately Seeking For Paradise.

**

Ceconteng hati

Habis interview biasiswa, komen one of interviewer pada aku ;

"awak boleh join politik ni"

I was like =_=. Outspoken sangat kot. luls. Kalau politik atas nama kebenaran, dan tak menidakkan kebobrokan sekadar atas nama parti, good political, then okay. Tapi, agak-agak nak tunggu good political, sampai bila?

Wallahua'lam.

13 April 2018

My Lab Reflection : Agglomeration Rate

Bismillahirrahmanirrahim,



Usai diskusi dengan team penyelidikan, aku tulis nota untuk istilah yang aku tak pasti definisi dia. Lebih jujur, aku tak pernah dengar pun istilahnya sebelum ini. Agglomeration rate. Hinggakan aku soal pada Yana, bagaimana ejaannya. Terlalu asing istilah itu bagi aku.

“Cuba Syifa explain kat Yana pasal agglomeration ni. Kenapa beriya study berhari-hari pasal agglomeration”, soal Yana setelah dia lihat nota peta minda aku yang berhelai-helai berkenaan agglomeration sahaja.

“Entahlah, rasa looser gila. After 4 years degree Fizik pun, ini kali pertama Syifa dengar istilah Agglomeration rate”, ujar aku pendek.

Supervisor aku, Dr Amir hanya minta aku kaitkan hasil kajian aku dengan agglomeration rate atau bahasa mudahya bagaimana hasil aku ini dapat menghasilkan kadar penggumpalan yang rendah.  Boleh katakan cuma dalam 0.5% daripada kajian sebenar aku. Tidaklah terlalu penting untuk difahami secara details. Sekadar satu proses ringkas kimia, bukanlah major kajian untuk diluaskan kajiannya. 

Hasil pencarian aku di sesawang google, menemukan aku pada laman forum dan biografi seorang pakar dalam bidang Agglomeration. Rasa takjub. Kerana fikirkan rasa ilmu kecil yang tak ada apa-apa ini pun boleh sampai jadi satu bidang kepakaran.  Luasnya ilmu Allah untuk diperdalamkan. 

Kata seorang sahabat, “Syifa, tiada masalahnya pun jika kita tidak tahu semua perkara”.

Dan aku iyakan, benar kerana itulah beza sifat Yang Mencipta dan yang dicipta  

Luasnya ilmu Allah untuk dipelajari, bagaimana mungkin manusia merasa bongkak, seakan sudah tahu semua perkara?


11.47 am
12 April 2018
Kerusi atas Bridge intermediate Bangunan Sains Kimia & Bangunan Fizik Gunaan 


18 Mac 2018

Hijrah



Soalannya mengguris.
Cuma pilih untuk tenang amankan hati.
Jelaskan pendirianku pintanya.
Pengaruh kerabatmu menggusarkan kami.
Seakan baru hari ini dia menyedari.
Tekannya berulangkali, seisi memerhati.
Sahabat2ku memandang kelu tak mengerti.
Sudah teguh kakiku disini.
Apa perlu kukhabarkan lagi?
Kususun ayat agar diri terjaga hati dari rasa ingin menyakiti.
.
Berbeza pandangan dilihatnya prejudis seakan musuh sampai mati.
Suarakan pandangan dipandangnya sepi, tiada pengalaman bagaimana hendak memahami, apalagi meladeni.
Oleh itu, ajarkanlah kami.
Bukankah dengannya idea dan tenaga muda kami lebih bererti.
Tebak hati barangkali ini bukan medan kami.
Tua dengan ketuaannya, muda dengan kemudaannya. Sampai bila begini?

Politik berakhlak Islam menjulang Islam keatas, tapi sayangnya ianya politik kepartian.
Dasar politik bagus, tapi sayang tidak orangnya.
Tokoh bagus, namun tidak pula pada dasarnya.
.
Maaf, masih bertatih untuk memahami. Moga rajuk kecewa ini sementara. Masih memikirkan, kenapa rasa itu diambang-ambang begini. Apa hati tidak tahan diuji?Telah kuhijrahkan kaki ini, moga tidak hati ini. Ya Rabbi, Thabbit qalbi 'ala dini. Amankanlah hati.
#yakinlah
#jikaredhadiayangkaucari
#cecontenghati

Cerpen : Partikel Tuhan (PART 1)

“Kau tahu apa yang paling kecil dalam dunia ini - pada tahap yang boleh dijelaskan?” “Atom?” “Sekadar meneka atau apa?” “Penge...